LAPAN tahun AC Mizal difitnah dengan pelbagai cerita yang kurang enak didengar. Sepanjang waktu itu juga, dia puas bersabar dengan masalah yang timbul daripada perkahwinan lalunya.
Pada mulanya AC tidak berniat mahu memperbesarkan perkara ini. Namun, hari demi hari berdepan masalah sama, malah sehingga hari ini belum ada penyelesaiannya, dia tidak mampu lagi untuk bersabar.
Bagi AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, kini sampai masanya untuk berdepan media dan membalas balik apa yang diperkatakan terhadapnya selama ini.
“Saya tidak tahan dengan apa yang terjadi. Pendek kata, saya tertekan dengan serangan demi serangan diberi pihak lain menerusi media. Namun, mengenalinya dulu dan sekarang, saya tidak terkejut. Cuma kini, saya tidak boleh bersabar lagi,” katanya.
Dakwaan mengatakan AC kerap mengabaikan tanggungjawab terhadap anaknya dinafikan sekeras-kerasnya olehnya. Menurutnya, tidak pernah sekalipun dia melupakan anaknya, walaupun mereka tidak ada di depan mata.
“Setiap bulan saya memasukkan RM300 dan kadangkala lebih daripada apa yang dipersetujui di luar mahkamah sebelum ini. Lagipun, Emylia (Emylia Rosnaida — isteri sekarang) yang juga pengurus saya, memasukkan duit berkenaan setiap bulan.
“Jika ramai tidak percaya, saya sedia menunjukkan kenyataan bank dan jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun di atas nama bersama saya dan anak setiap bulan.
“Pernah ada cerita mengatakan saya sering mengabaikan anak. Hakikatnya, saya jarang mempunyai peluang untuk berjumpa mereka.
“Malah, setiap kali saya mengatur temu janji untuk berjumpa anak, pasti ada masalah lain yang timbul dan menghalang saya berjumpa mereka.
“Dalam masa sama, telefon bimbit yang saya beri kepada anak sulung juga sukar dihubungi. Saya tidak tahu mengapa susah sangat mahu menghubungi mereka, padahal telefon berkenaan saya beri kepada anak sulung supaya mudah untuk kami berhubung.
“Sebagai ayah, mana mungkin saya melupakan mereka. Walau apapun terjadi, mereka tetap darah daging saya. Orang ramai menganggap saya mengabaikan mereka, tetapi hakikatnya tidak. Lagipun, saya punya isteri dan anak menerusi perkahwinan baru, jadi komitmen saya sangat besar,” katanya.
Namun yang membuatkannya terkilan, ada pihak mengatakan kerjayanya dalam dunia hiburan bukan kerja halal, malah dia juga dituduh memberi makanan kepada keluarga dengan duit haram.
“Bengang dengan tuduhan itu, saya mendapatkan nasihat Datuk Dr Fadzilah Kamsah dan jelas, pekerjaan sebagai artis tidak haram, asalkan kita tahu apa yang benar dan salah.
Kerana pelbagai masalah yang timbul, AC mengakui sedikit tertekan dengan apa yang terjadi. Begitupun, dia tidak mahu mengalah, malah demi kepentingan masa depan anaknya, AC menuntut hak penjagaan anak daripada mahkamah.
“Lagipun, apa yang dipaparkan di dada akhbar hampir setiap hari mengenai prosiding perceraian saya mungkin mempengaruhi anak. Saya tidak mahu masalah rumah tangga yang tidak selesai ini mempengaruhi mereka.
“Anak pasti merasa tempiasnya. Saya tidak sanggup melihat mereka terabai hanya kerana masalah kami yang tidak selesai. Lagipun, Emylia menganggap mereka seperti anaknya dan sudi menjaga mereka.
“Sebab itu saya akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan hak mengenai penjagaan anak. Masa depan mereka perlu dicorakkan, bukan untuk dihancurkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: