JOHOR BAHRU - Johor dilihat sebagai negeri contoh dan teraju dalam jihad ekonomi yang perlu diteladani kerana kejayaan melaksanakan pelbagai program wakaf.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pengurusan tanah wakaf bagi perancangan pendidikan agama di seluruh Johor amat dikagumi.
“Kita kagumi kerjasama erat antara Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan agensi kerajaan lain kerana berjaya mengungguli pengurusan tanah-tanah wakaf yang turut dibangunkan secara bersama bagi perancangan pendidikan agama di Johor demi keperluan umat Islam.
“Di atas kreativiti yang dijanakan sehingga pelbagai program wakaf berjaya dilaksanakan, saya mengajak untuk melihat Johor sebagai salah satu negeri contoh dan teraju dalam jihad ekonomi yang perlu diteladani dan dikembangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor 2016 di Persada Johor, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Jamil berkata, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) melihat Johor memiliki potensi untuk mengembangkan program wakaf khususnya bagi membangunkan projek di atas tanah terbiar.
Katanya, bermula tahun lalu, beberapa projek baharu dibangunkan di atas beberapa bidang tanah wakaf terpilih.
“Ia adalah projek pusat jagaan orang-orang tua di tapak Masjid Taman Perling, Johor Bahru bagi memberi serta menyediakan pelbagai kemudahan, keselesaan serta menjamin kesejahteraan dan kebajikan kehidupan warga emas.
“JAWHAR dan MAINJ turut merancang pembinaan ruang niaga lima tingkat dan pusat dialisis di tanah wakaf Masjid Kota Tinggi. Demikian juga kompleks fakir miskin serta ruang industri kecil dan sederhana di Mersing,” katanya.
Beliau berkata, MAINJ juga telah memiliki jadual pembangunan harta wakaf yang aktif termasuk merancang untuk melaksanakan projek pembangunan perumahan di Bandar Baru Uda.
Selain itu, katanya, dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia, MAINJ turut merancang membina Francais Wakaf Mart di tapak wakaf Masjid Taman Perling.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MAINJ yang sentiasa giat membangunkan pelbagai program ekonomi umat Islam di negeri ini bagi memastikan golongan daif, fakir miskin dan mereka yang memerlukan mendapat perhatian sewajarnya.
“Apa yang saya harapkan MAINJ hendaknya sentiasa bersedia pada saban masa untuk bangkit berdaya saing agar tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya mampu digalas dengan cemerlang demi maslahat ummah,” katanya.