Friday, November 25, 2016

'Kau Mampu' Taruhan Hakim Sebagai Artis Baharu



Hakim mempertaruhkan lagu 'Kau Mampu' untuk bersaing di persada muzik tempatan.
KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Hakim berharap single sulungnya berjudul Kau Mampudapat memperkenalkan dirinya di persada seni tanah air biarpun dia pernah gagal untuk berada dalam dua pertandingan realiti televisyen popular sebelum ini.
Hakim atau Mohamad Al Hakim Khan Farukh Hadi, 15, berkata, dia tidak pernah meletakkan kegagalan tersebut sebagai alasan untuk terus berputus harap sekali gus membantutkan cita-citanya untuk menjadi seorang penyanyi disegani suatu hari nanti.

"Sebelum ini saya pernah menyertai uji bakat pertandingan realiti Idola Kecil 5 dan Ceria Pop Star 2015, namun rezeki saya tiada di situ biarpun hampir berada dalam senarai akhir pemilihan.

“Justeru atas kepercayaan yang diberi oleh keluarga, rakan-rakan, guru sekolah dan Aidil Zamri selaku komposer lagu Kau Mampu, saya berada di sini  untuk sama-sama mewarnai atmosfera muzik tempatan,” katanya.

Hakim ditemui  pada majlis pelancaran single dan muzik video pertamanya itu di Saloma Bistro, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu kata jejaka kacukan Melayu - India ini, dia tidak perlu risau soal pembahagian masa antara pelajaran dan kerjaya seninya kerana ia diatur oleh orang tuanya.
Hakim (tengah) bersama ayah dan ibunya ketika pelancaran lagu 'Kau Mampu' di Saloma Bistro, Jalan Ampang pada Rabu.
"Emak dan ayah sangat menyokong kerana minat menyanyi saya dikesan sejak kecil lagi di mana saya cepat mengingati sesebuah lagu apabila diperdengarkan," kata penuntut tingkatan tiga Sekolah Menengah Setia Budi, Gombak ini.

Di sisi lain, dia yang begitu meminati penyanyi Justin Bieber dan Akim & Majistret ini turut berkebolehan menyanyikan pelbagai jenis lagu antaranya lagu Melayu, Inggeris, Korea dan Bollywood.

Selain menyanyi, anak tunggal dalam keluarga ini turut meminati lapangan tarian moden dan berkemahiran bermain alat muzik seperti piano dan gitar.

Menjawab tentang persaingan bersama penyanyi seangkatan usianya seperti Aiman Tino, Hakim menjelaskan setiap orang ada kelebihan tersendiri untuk meraih perhatian peminat selain ingin sentiasa positif menerima teguran dan kritikan demi kebaikan.

Sementara itu ayah Hakim yang berketurunan India New Delhi iaitu Farukh Hadi Abdul Hadi, 48, mempunyai Impian untuk membawa anaknya itu menembusi pasaran Bollywood suatu hari nanti.

"Setakat ini saya ada membawa seorang guru untuk mengajar vokal dan membentuk penampilan anak saya dan sebagai bapa saya akan sentiasa menyokong perjalanan seninya selepas ini, " katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: