BIAR 
dihimpit dengan pelbagai kecanggihan teknologi, fungsi radio kekal sebagai medium penyampai maklumat yang berterusan.
Pada masa sama, radio turut memainkan peranan dalam menyalurkan hiburan buat pencinta seni dan budaya.
Namun begitu, keadaan itu juga bergantung pada peranan seseorang penyampai radio sekali gus bertindak sebagai ‘orang penting’.
Pun begitu, bukanlah mudah untuk bergelar penyampai radio.
Bagi Nadira Azizan, langkahnya sebagai penyampai radio perlu dihadapi dengan pelbagai ujian yang berliku.
Tambahan pula, pemilik nama penuh Khidirah Naimah Mohd Zain ini merupakan antara penyampai awal di radio EraFM.
"Semuanya bermula selepas saya terpilih untuk menjalani latihan amali di stesen radio EraFM pada 1998.
"Ketika itu, EraFM baharu sahaja berusia enam bulan dan semua perkara perlu dilakukan dengan kerjasama sepasukan.
"Alhamdulillah, saya selamat menjalani latihan amali selama lima bulan," katanya kepada Sinar Harian.
Mengimbas kembali, katanya, pelbagai perkara yang dipelajari daripada Kudsia Kahar dan Allahyarham Rafi Mansur yang bertindak sebagai Pengurus dan Penerbit EraFM ketika itu.
"Sebagai pelatih, saya bertanggungjawab untuk menyediakan pelbagai berita daripada dalam dan luar negara.
"Saya juga perlu mencari maklumat mengenai pelbagai info seperti cuaca, sihat, trafik dan kapsul serta kandungan yang diperlukan.
"Bukan itu sahaja, saya juga diperuntukkan untuk membuat kerja-kerja di bahagian promosi,” katanya.
Lebih manis, pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini terus ditawarkan dengan pekerjaan tetap di EraFM, pada 1999.
"Saya ditawarkan sebagai penulis muda dan secara rasminya, tugasan saya adalah untuk menulis dan membaca berita selain kandungan tetap di EraFM.
"Tapi, oleh kerana usia EraFM masih baharu, jadi semua perkara perlu dilakukan bersama.
"Setiap kempen akan dimulakan dengan sesi ‘brain storming’ sepasukan, dari mencari nama sehinggalah ke perjalanan dan perlaksanaan kempen.
"Saya juga bertanggungjawab mengendalikan pelbagai urusan pentadbiran di EraFM seperti menetapkan jadual kerja, cuti, mengumpul artikel dan menjawab pertanyaan,” katanya.
Puas jadi penyampai
Meskipun tugasnya lebih kepada belakang tabir, suara Nadira juga berpeluang ke udara bergandingan dengan penyampai radio popular, Halim Othman sekiranya gandingannya (ketika itu), Jamal Jamaluddin bercuti.
"Bermula dengan membaca laporan trafik secara langsung dan menemani Halim dalam beberapa sesi temu bual tetamu konti, saya kemudiannya berminat untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini.
"Oleh itu saya perlu berani. Jadi, saya bertanya sendiri pada Kudsia Kahar dan tidak sangka, dia mengizinkan untuk saya untuk ke hadapan," katanya.
Atas dasar itu, anak bongsu daripada 11 beradik ini berpeluang mempelajari selok-belok radio bersama dua penyampai radio legenda, Subarma Moktaruddin (Subi) dan Najman Mohamed.
"Ketika itu, tiada latihan formal. Jadi, proses belajar hanya berlaku melalui pemerhatian.
"Saya juga diberi peluang ke udara untuk menggantikan penyampai yang bercuti, tidak cukup orang dan akhirnya diberi kesempatan untuk mengendalikan slot sendiri pada hujung minggu," katanya.
Tambahnya, kesempatan yang diperoleh benar-benar memberi kepuasan pada dirinya.
"Jujur, saya puas, apatah lagi apabila dapat berinteraksi secara terus dengan pendengar.
"Bahkan, saya juga dapat berkongsi idea dan pendapat dengan pendengar," katanya.
Tidak hanya itu, wanita berusia 40 tahun ini mengakui ‘dunianya’ mula bertukar 360 darjah selepas berjinak-jinak dengan industri penyiaran radio.
"Daripada seorang gadis kampung yang tidak dikenali, saya mula menjadi perhatian umum.
"Namun, bukanlah itu yang saya cari. Apa yang lebih penting, karier ini membuatkan saya lebih mengenali erti persahabatan, kekeluargaan, kejujuran dan keikhlasan," katanya.
Bagaimanapun, 'kolaborasi' Nadira dan EraFM terhenti selepas sembilan tahun. Ini kerana, Nadira ditawarkan sebagai Eksekutif Muzik di stesen radio THR Gegar pada 2008.
"Di THR Gegar, tugas saya lebih mencabar. Lagi pula, saya menjadi 'orang kedua' dalam stesen yang menguruskan hampir keseluruhan perjalanan operasi.
"Ini menjadikan saya bersyukur dengan setiap 'tangga' yang berjaya didaki di EraFM," katanya.
Kini, Nadira mampu berbangga dengan kejayaan yang di kecapinya selepas hampir 20 tahun berada dalam industri penyiaran radio.
"Alhamdulillah, saya sangat hargai dan bersyukur dengan setiap tahun yang saya lalui. Kini, saya bergelar Pengurus Kandungan THR Gegar.
"Walaupun ia agak lambat, namun pada saya tidak pernah ada yang terlambat. Semuanya perancangan dan ketentuan daripada ALLAH SWT ," katanya
.