JOHOR BAHRU - Pelakon dan pelawak, Along Cham kini lebih selesa memberi tumpuan pada kerjayanya sebagai penyampai radio Best FM berbanding memikirkan soal jodoh.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad,33, berkata, dia mahu memberikan yang terbaik buat karier barunya itu selepas diberi peluang mengendalikan salah satu slot siaran radio berkenaan.
“Bukan tidak pernah memikirkan soal jodoh, namun tumpuan saya kini pada tawaran saya ini yang saya kira membuka pintu rezeki pada saya apabila mengambil keputusan untuk berhijrah ke sini bagi mencari ketenangan.
“Yang berlalu, biarkanlah berlalu. Saya mahu lupakan sejarah hitam berkenaan. Jadi bila dapat tawaran ini, saya tidak fikir panjang dan saya anggap ini adalah rezeki dari ALLAH,” katanya selepas sidang media Best FM di Hotel M Suite, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Bapa kepada Ahmad Danial, 5, itu memberitahu, beliau turut menolak beberapa tawaran lakonan lain termasuk sebuah filem demi komitmen terhadap Best FM.
“Boleh katakan saya mahu serah diri 200 peratus kepada Best FM dan tidak akan menerima tawaran berlakon kerana sukar juga untuk saya ulang-alik dari sini ke Kuala Lumpur.
“Lagipun saya tidak mahu mengganggu rakan setugas lain yang mana mereka telah memberi sepenuh jiwa untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan,” katanya yang pernah menjadi penyampai radio di beberapa stesen radio sebelum ini.
Bagaimanapun, Along berkata, dia tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan tawaran berlakon sekiranya lokasi lakonan  yang ditetapkan berada di sekitar Johor Bahru.
Dalam pada itu, anak kelahiran Johor Bahru ini juga memberitahu, dia tidak akan lagi menyertai rancangan Maharaja Lawak Mega pada masa akan datang.
“Tidak dinafikan banyak kenangan manis saya bersama pelawak-pelawak lain untuk rancangan Maharaja Lawak Mega sebelum ini, namun saya mahu umumkan untuk tidak menyertai lagi rancangan berkenaan selepas ini,” katanya.
Along menyertai Best FM sejak awal Oktober lalu bagi mengisi kekosongan Zarina Zainoordin yang meninggalkan slot pagi.
Dia kemudiannya telah digandingkan dengan Zairi untuk mengendalikan Best Pagi yang bermula dari jam 6 hingga 10 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat.