MEDIA hari ini turut memaparkan isu kenaikan harga barang yang tidak seimbang dengan kadar kenaikan pendapatan, keadaan yang mendesak sebegini akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi sesebuah keluarga.
Tidak hairanlah ada yang memilih untuk melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang dan tidak diikhtiraf syariah bagi menambah pendapatan mereka.
Apakah perspektif syarak apabila berhadapan dengan isu pendapatan yang diperoleh dari sumber yang tidak halal?
Untuk mengetahuinya, kita perlu melihat defi nisinya terlebih dahulu.
Definisi pendapatan
Dalam Bahasa Arab, pendapatan boleh disinonimkan dengan iktisab ataupun kasb. Kamus Lisan al-‘Arab membezakan antara dua kalimah ini dengan membawa sepotong ayat dari Surah al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud, “Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya (kasb-kasabat), dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya (iktisab-iktasabat)”.
Jika dilihat daripada terjemahan, kedua-dua kalimah membawa maksud yang sama iaitu diusahakannya’, tapi penggunaannya berbeza mengikut kerja yang diusahakan sama ada baik atau buruk.
Begitu juga dengan pendapatan, jika harta yang diperoleh melalui sumber yang halal, ia dinamakan kasb, tetapi jika melalui sumber yang tidak patuh syariah, ia adalah iktisab. Walau bagaimanapun, kebanyakan kitab Bahasa Arab moden tidak membezakan antara dua kalimah ini sebegitu rupa kerana ia adalah perincian pengunaan kalimah yang selalu digunakan dalam prosa Arab klasik dan al-Quran.
Jenis pendapatan
Dalam Kitab al-Kasb karangan Imam as-Syaibani, beliau mengklasifikasikan pendapatan kepada dua iaitu pendapatan halal dan pendapatan haram.
Walaupun mereka yang memperoleh harta dari sumber yang tidak patuh syariah itu dihukum berdosa, timbul persoalan sama ada bolehkah harta itu digunakan transaksi dalam kontrak yang patuh Syariah, seperti aktiviti jual beli yang halal atau menjadi modal kerja sesebuah perniagaan?
Hukum menggunakan harta yang tidak patuh syariah untuk transaksi yang halal
Industri Kewangan Islam dalam membincangkan hal ini mempunyai parameter tersendiri yang berbeza-beza mengikut institusi yang mengeluarkan parameter tersebut. International Shari’ah
Research Academy for Islamic Finance (ISRA) sebagai contoh memperincikan lagi harta dari sumber yang haram ini kepada dua; iaitu ta’addi (melampaui batas) dan takassub (pemerolehan).
Ta’addi adalah pendapatan dari sumber yang tidak patuh syariah yang diperoleh melalui kegiatan yang menyanggahi perlembagaan dan syarak. Selalunya, pendapatan jenis ini akan melibatkan pelanggaran hak orang lain seperti merompak, mencuri dan aktiviti keganasan.
Takassub pula ialah pendapatan tidak patuh syariah yang diperoleh melalui kegiatan yang masih mematuhi perlembagaan negara tetapi tidak menepati syarak, seperti kegiatan perkilangan arak, perjudian berlesen dan pinjaman wang dari perbankan konvensional.
ISRA melalui kajiannya berpendapat bahawa harta yang berstatus ta’addi bukanlah kepunyaan si pelaku, bahkan perlu dipulangkan semula kepada pemiliknya yang berhak. Jika pihak yang berkontrak tahu mengenai status wang tersebut, maka hendaklah pihak itu mengelak dari berkontrak.
Sebagai contoh, dalam industri takaful sendiri, jika ada caruman yang dibuktikan sebagai sebuah pengubahan wang haram, kontrak takaful tersebut akan terbatal.
Untuk harta takassub pula, walaupun si pelaku dikira berdosa, mereka masih dianggap pemilik harta.
Walaupun demikian, hasil yang didapati daripada pelaburan harta tersebut hendaklah didermakan kerana jika tidak, ditakuti si pelaku termasuk dalam amaran Nabi Muhammad yang bermaksud, “api neraka lebih baik bagi daging yang membesar dari sumber yang haram”.
Kesimpulannya, kita sebagai muslim hendaklah memastikan pendapatan kita bebas dari sumber yang tidak patuh syariah dan meragukan.
Sebagai tambahan, pastikan juga pendapatan kita yang halal dikeluarkan zakat supaya mendapat keberkatan-Nya.
Wallahualam.