Tuesday, November 29, 2016

Puteri Sarah Beli Persiapan Bayi Di London



Puteri Sarah
PETALING JAYA: Pelakon Puteri Sarah memberitahu dia akan mula membuat persedian untuk menyambut bayi sulungnya bulan hadapan ketika kandungan mencecah lima bulan.

Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 31, berkata, dia sekeluarga akan bercuti di London akhir tahun ini sekali gus mahu membeli keperluan bayi di sana.

"Setakat ini saya belum beli apa-apa lagi kerana bulan depan kami merancang untuk bercuti sekeluarga ke London dan Paris.

"Jadi lebih baik saya beli sekali keperluan bayi di sana sahaja kerana biasanya pada akhir tahun banyak jualan murah," ujarnya.
Sarah berkata, kandungan pertamanya itu sudah disahkan bayi lelaki dan dia dijangka bersalin pada April tahun hadapan.

Sarah bakal bercuti bersama suami dan ahli keluarganya pada Disember ini.
Menceritakan pengalaman sebagai wanita hamil, katanya, dia kini lebih mengemari makanan pedas.

"Saya pelik sejak mengandung ini boleh pula saya terima makanan pedas seperti Syamsul yang sukakan pedas.  Saya yakin bayi ini akan ikut perangai ayahnya kerana suka makanan pedas.

"Selain itu, saya juga mengambil banyak makanan tambahan untuk kandungan, sehari lebih tujuh biji pil saya makan. Namun, saya sudah merujuk terlebih dahulu makanan tambahan itu kepada doktor sebelum mengambilnya," ujar Sarah.

Selain itu, Sarah berkata, suaminya terlalu mengambil berat dan tidak membenarkan dia melakukan kerja-kerja berat sejak mengetahui tentang kehamilan tersebut.

Sarah berkata, Syamsul juga tidak benarkan dia menerima apa-apa tawaran berlakon atau pengacaraan yang boleh menjejaskan masa rehatnya.

"Kalau tidak saya ada satu tawaran untuk jadi hos program televisyen tapi terpaksa tolak kerana takut mejejaskan kandungan.

"Program ini memerlukan saya membuat aktiviti lasak dan perkara tersebut tidak dipersetujui oleh suami saya. Tiga bulan pertama saya diminta hanya duduk sahaja di rumah berehat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: