MENCARI makanan di sekitar Mersing tidaklah sukar memandangkan banyak gerai yang menawarkan pelbagai jenis makanan bermula seawal pagi hingga ke tengah malam.
Sejak pertama kali tiba di bandar Mersing kira-kira sebulan lalu, saya sudah merasa pelbagai hidangan di beberapa kedai dan mendapati ada yang murah, ada yang agak mahal.
Tapi yang mengejutkan, masih ada peniaga yang menjual dengan harga yang murah.
Terasa murahnya macam di zaman sekolah rendah pula.
Baru-baru ini, saya meluangkan masa menyiapkan bahan berita di sekitar Taman Rekreasi Mersing dan terdapat food truck Man Pantai yang menjual keropok lekor, pisang goreng dan beberapa makanan lain.
Kawasan Taman Rekreasi Mersing ini antara tumpuan kunjungan orang ramai termasuk pelancong dari luar, memandangkan di situ adanya taman permainan, kedai makan serta tarikan terbaharu ~ tugu kemahkotaan.
Berdekatan food truck Man Pantai, pengunjung boleh duduk bersantai sambil menikmati pemandangan.
Selain harganya yang murah, peniaganya juga ramah-tamah belaka.
Ketika pertama kali mahu membeli, saya memang terkejut ketika diberitahu sekeping keropok lekor berharga 10 sen.
Rasanya sudah bertahun saya tidak mendengar harga semurah itu lagi.
Masih saya ingat lagi, kantin di sekolah rendah sekitar 1990-an, keropok lekor dijual dengan harga 10 sen sekeping.
Kalau di kawasan lain yang pernah saya kunjungi, rata-ratanya dengan RM1 kita hanya mendapat lima atau enam keping sahaja.
Kali terakhir saya makan keropok lekor ketika berkunjung ke Kemaman, Terengganu, Ogos lalu.
Tapi yang lebih penting, keropok lekor yang dijual Man Pantai bukan sekadar murah, ia juga enak apatah lagi ketika dimakan panas-panas.
Malah nuget secucuk dan air secawan yang dijual juga berharga RM1. Memang berbaloi.
Bagi hidangan tengah hari pula, saya pernah singgah di kedai dekat sawah, tidak sampai RM5 harga yang dikenakan termasuk air. Murah !
Makanan laut segar, pisang goreng sambal kicap terbaik
Namun, di kawasan bandar dan pesisir pantai harganya hampir sama dengan kawasan bandar lain cuma kelebihan di sini, bahan basahnya terutama makanan laut lebih segar.
Pernah saya dibawa ke kedai makan Pak Ajak dekat Teluk Buih, masih terasa kemanisan isi ketam masak sambal dan ikan sembilang asam pedas di situ.
Lain sungguh rasanya !
Dulu sewaktu kecil, abah saya sering membawa ikan, ketam dan udang segar untuk kami sekeluarga namun setelah abah tidak lagi menjadi nelayan, kami beli di pasar sajalah.
Pisang goreng cicah sambal kicap di sini pula memang terbaik.
Sudah lama sungguh saya tidak dapat merasa pisang goreng dengan sambal kicap yang seenak di Taman Seri Nakhoda.
Memang wajib cuba jika mengunjungi Mersing.
Di sini juga popular dengan nasi dagang dan kedai di Tanjung antara yang menjadi tumpuan.
Saya belum berpeluang lagi mencuba kerana setiap kali melalui kedai tersebut, boleh tahan ramai pelanggan beratur.
Ada yang beritahu saya, nasi dagang di sana sedap. Saya akan cuba dalam masa terdekat.
Selain keropok lekor dan nasi dagang, satar juga mudah didapati dan dijual dengan harga yang agak murah.
Tapi rasanya berbeza mengikut tempat.
Kira-kira dua minggu lalu, sahabat dari ibu pejabat Sinar Harian, Kak Liza Hassan ada melawat saya dan kami singgah makan dekat sebuah kedai di Sri Lalang.
Siakap masak stim limau, sotong goreng tepung, kailan ikan masin dan tomyam yang kami pesan sampai tanpa perlu menunggu begitu lama.
Lebih menggembirakan harga yang dikenakan pula tidaklah terlalu mahal.
Senarai lokasi jelajah, menu wajib rasa
Sahabat baru saya di sini, Lyn dari Kampung Air Merah ada berjanji untuk membawa saya merasa sate di kampungnya.
Ada banyak lagi yang belum saya jelajah.
Justeru, bagi lokasi yang dirasakan menarik saya buat senarai lokasi jelajah, serta menu wajib rasa yang akan saya kunjungi kelak.
Selain nasi dagang dan sate, lemang periuk kera yang dijual di Pakar juga sudah termasuk dalam senarai wajib rasa.
Ramai juga menyarankan saya agar singgah ke gerai makan di pantai Penyabong yang menyajikan sotong, udang dan ikan celup tepung.
Memang ini antara makanan kegemaran saya ketika berkunjung ke Terengganu.
Saya pasti akan mengunjungi gerai di pantai Penyabong dalam masa terdekat.
Kalau ada lokasi dan makanan menarik wajib saya cuba, jangan lupa beritahu saya ya.