PENYANYI
 dan komposer popular, Awi Rafael mengakui bukan mudah mengekalkan populariti dalam industri seni hiburan tanah air jika tidak menampilkan sesuatu yang baru dan berbeza untuk peminat.
Bukan hanya untuk dirinya sebagai penyanyi, namun sebagai seorang komposer Awi turut mencari pendekatan terbaik mempelbagaikan karyanya  agar hasilnya dapat memberi lebih pilihan kepada industri.
“Kita mempunyai ramai penyanyi berbakat, tapi cuba bayangkan apa yang terjadi kalau masing-masing menyumbang karya yang sama.
“Jadi saya mengambil pendekatan untuk sentiasa mencuba sesuatu yang baru agar muzik kita lebih variasi dan sentiasa berkembang dengan pelbagai gaya segar seiring dengan perkembangan muzik semasa,” katanya yang mula dikenali menerusi lagu Pulanglah ini.
Selepas sukses dengan album Awi Rafael (2011) dan Asalkan Aku OK! (2013), penyanyi dari Singapura ini bakal tampil dengan album ketiganya yang dijangka berada di pasaran awal tahun depan.
“Sementara menunggu album siap, saya akan muncul dengan single terbaharu, Kau Di Hatiku berduet bersama Altimet yang dirasakan begitu serasi dengan kehendak lagu-lagu saya.
“Jika sebelum ini kami pernah berkolaborasi menerusi lagu Kalau Aku Kaya, kali ini kami sekali lagi akan cuba menampilkan muzik baru untuk diperdengarkan kepada peminat yang sukakan kelainan,” ujar Awi.
Dalam pada itu,Awi kini sibuk berulang-alik ke Indonesia kerana bakal membuat penampilan bersama sebuah band baru, Kasablanka.
“Kalau di sini orang mengenali Awi Rafael sebagai penyanyi solo, tetapi untuk penampilan di Indonesia, saya bakal tampil bersama band baru, Kasablanka yang turut dianggotai rakan-rakan dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar dan saya juga diberi peluang  menyumbangkan beberapa lagu untuk album pertama kami yang kini dalam perancangan.
“Apa pun saya hanya akan aktif bersama Kasablanka di Indonesia selepas album solo terbaru dilancarkan awal tahun depan,” katanya yang teruja dengan peluang tersebut.
Berjinak-jinak dalam
bidang perniagaan
Biarpun sibuk dengan aktiviti nyanyian, Awi tetap aktif mencipta lagu, sama ada untuk dirinya sendiri mahupun untuk penyanyi lain.
“Setiap hari saya akan hasilkan dua lagu dan sudah menjadi rutin biarpun sibuk dengan aktiviti lain.
“Saya akan membawa peralatan sesuai agar ilham yang terhasil itu dapat diproses dan disimpan dengan baik,” katanya yang turut menyumbangkan lagu untuk Ezad Lazim.
Sehingga kini, kata Awi, dia  berjaya menghasilkan lebih 800 lagu.
“Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka dapat menghasilkan lagu sebanyak itu kerana masih baru dalam bidang ini. Tapi mungkin kerana minat, saya cuba mencari sesuatu yang berbeza untuk diketengahkan kepada peminat," ujarnya.
Setiap hari dia menulis lagu untuk pelbagaikan koleksi dengan menggunakan beberapa pendekatan bagi menghasilkan yang terbaik.
 Awi juga kini sibuk menguruskan perniagaannya.
Selain menguruskan sebuah restoran bersama seorang rakan, dia juga aktif mengusahakan perniagaan barangan kulit yang menggunakan jenama Kasablanka.
“Produk ini boleh didapati secara atas talian menerusi Rosevalley.co yang menjadi pusat mengumpulkan pelbagai barangan jualan selebriti tempatan.
“Walaupun baru setahun, tetapi sambutan yang diterima cukup memberangsangkan dan melegakan saya sebagai orang bahru yang mahu berjinak-jinak dalam bidang ini,” kata Awi
.