Monday, November 21, 2016

Kim Fukazawa Dipandang Sinis Kerana Mampu Berlakon Lagak Ngeri



Kim Fukazawa bukan sahaja mahu berjaya sebagai aktres tetapi juga pelakon lagak ngeri. Foto Ihsan Instagram @kimfukazawa
PETALING JAYA: Pendatang baharu Kim Fukazawa tidak berkecil hati apabila ada pihak memandang rendah kepadanya selepas dia memberitahu turut menjadi pelakon aksi ngeri.
Kim, 29, berkata dia sering dipandang sinis selepas berkongsi cerita tentang kebolehan itu kepada pihak produksi hanya kerana dia merupakan seorang wanita.

"Saya berjinak-jinak dalam bidang lakonan sejak empat tahun lalu dan sekiranya ada babak yang memerlukan pelakon lagak ngeri saya akan lakukan sendiri.

"Pada awalnya memang ramai tidak percaya saya mampu lakukan aksi berbahaya kerana tidak ramai pelakon lagak ngeri wanita di negara ini.

"Pandangan sinis itu sudah biasa tetapi saya tidak berkecil hati kerana selepas melihat sendiri saya mampu lakukan baharulah mereka percaya," katanya.

Kim yang juga adik kepada pelakon Pablo Amirul muncul dengan filem terbaharu berjudul Last Kopek Havoc yang dikeluarkan dalam bentuk cakera digital (DVD).

Dalam pada itu, Kim berkata, dia meminati bidang lagak ngeri sejak di bangku sekolah malah pernah mendapatkan kursus latihan di luar negara bagi mendalami bidang tersebut.

Malah kata Kim, dia juga sering menyertai kursus yang diadakan oleh Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) bagi memantapkan kemahirannya.

"Saya mahu jadi seorang pelakon yang berkebolehan dan bukan hanya semata-mata melontarkan dialog tetapi mampu melakukan aksi berbahaya.

"Ia sebagai satu tambah nilai kepada diri saya dan membezakan saya daripada pelakon-pelakon wanita sedia ada.

"Tidak ramai wanita yang berani menceburi bidang lagak ngeri ini dan saya melihat ia sebagai satu peluang dalam menampilkan kelainan," ujarnya.

Tambah Kim, sebelum ini dia juga pernah bertindak sebagai pelakon lagak ngeri untuk artis wanita lain dalam drama dan filem.

Sementara itu, Kim berkata, kerjaya sebagai pelakon lagak ngeri sebenarnya boleh dilakukan oleh semua orang asalkan mereka tahu teknik yang betul.

Katanya, industri berkenaan masih baharu di negara ini selain kepakaran yang kurang membuatkan ramai tidak berani mencuba bidang tersebut.

"Bidang ini menyeronokkan cuma orang takut hendak mencuba sebab ia melibatkan aksi lasak dan merbahaya tetapi sebenarnya jika dilakukan dengan betul ia mudah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: