GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) membidas tindakan peniaga yang menangkap serta menjual katak di sekitar pasar Pulau Pinang.
Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ia berikutan haiwan amfibia itu dipercayai semakin pupus.
Menurutnya, terdapat kebimbangan yang serius oleh saintis di seluruh dunia yang mengatakan misteri lenyapnya katak dan kodok.
“Malah mereka turut memberi amaran bahawa bilangan amfibia sedang menuju ke arah kepupusan sekali gus memberi petanda bahawa alam sekitar mengalami kerosakan yang teruk.
“Saintis melaporkan bilangan amfibia telah merosot daripada banyak negara termasuk Amerika Syarikat, India, Jepun, dan Australia terutama di kawasan rizab yang dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan.
Kegiatan penjualan katak turut dilakukan di beberapa buah pasar termasuk di Air Itam dan Batu Lanchang.
Mohamed Idris berkata, malah ada peniaga di Pulau Tikus dan Mount Erskine menjualnya secara terus kepada restoran.
“Kita masih mengkaji, adakah disebabkan selera rakus kepada katak ini telah menjadi kepupusan  bilangan katak di Malaysia memandangkan tidak terdapat data terhadap bilangannya.
“Malah SAM juga tertanya-tanya jika katak yang dijual di pasar terdedah kepada bahan cemar kimia, ia mungkin boleh menyebabkan tumor kanser, kecacatan kelahiran, dan gangguan perkembangan lain,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan supaya mengharamkan sepenuhnya kegiatan menangkap, menjual dan membunuh katak.