Tuesday, November 29, 2016

Siti Nurhaliza Terima 300 Lagu Selepas Dihebahkan Di Laman Sosial



Siti Nurhaliza cari lagu yang segar untuk album baharu.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza berkata, dia kini dalam proses menapis 300 buah lagu yang diterima selepas dia memuat naik status di laman sosial untuk mencari lagu-lagu sempena pembikinan album terbaharunya.

Siti, 37, berkata, dia menerima pelbagai genre lagu daripada komposer-komposer baharu dari Malaysia dan Indonesia yang berminat untuk menyumbang lagu dalam album berkenaan.

"Saya terima banyak lagu iaitu kira-kira 300 buah lagu daripada komposer baru selepas saya menguar-uarkan perkara itu di Facebook dan Instagram beberapa bulan lalu.

"Sekarang ini pengurus saya dalam proses senarai pendek dan mengeluarkan lagu yang tidak sesuai dahulu," ujarnya.
Siti ditanya tentang perkembangan kerjaya nyanyiannya dan perancangan album baharu.

Tambah Siti, dia mencari lagu yang mempunyai melodi yang sedap didengar serta muzik yang segar.

"Saya tidak terlalu memilih komposer baharu atau lama, apa yang penting ialah lagu tersebut mesti mudah diterima dan catchy.

"Namun, saya masih mementingkan kualiti arrangement muzik yang matang dan bagus," ujarnya yang bakal memulakan rakaman penghujung tahun ini.

Sementara itu, Siti berkata dia juga tiada masalah untuk menyanyikan lagu genre balada seperti ketika zaman 90-an yang kini menjadi trend semula.

"Saya lihat trend sekarang suka pada lagu-lagu 90-an seperti lagu Aiman Tino, saya tiada masalah untuk buat lagu-lagu seperti genre itu kembali jika ada lagu yang sesuai" ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: