TIDAK dinafikan, lambakan pelakon baharu di gelanggang lakonan memberi ruang pencinta filem dan drama tempatan menilai aktor atau aktres yang dirasakan mampu menggantikan pelakon senior berbakat sedia ada.
Tidak hanya bersandarkan pada rupa semata-mata, kualiti lakonan pastinya menjadi senjata paling ampuh buat muka baharu untuk terus kekal di pentas lakonan dalam tempoh yang lama.
Itulah impian dan cita-cita Khamarul Razak atau nama sebenarnya, Mohd Khamarul Firdaus Abdul Razak, 27, yang mengakui tidak mudah pelakon baharu sepertinya membuktikan bakat yang ada kepada peminat dalam tempoh terdekat.
“Sebagai pelakon yang masih bertatih dalam industri ini, sudah tentunya saya perlukan suatu jangka masa yang agak panjang bagi membuktikan kemampuan membawa sesebuah watak dengan baik. Sebab itulah saya tidak segan atau malu biarpun pada peringkat awal hanya memegang peranan pelakon tambahan tanpa dialog sekalipun.
“Bagi saya, ia secara tidak langsung memberikan pengalaman berbeza, sementelah saya sendiri baru setahun jagung dalam lakonan,” ujar Khamarul yang turut menyifatkan dirinya bertuah kerana berpeluang beraksi bersama barisan pelakon hebat dalam drama yang bukan calang-calang seperti Akadku Yang Terakhir dan terkini, Lara Aishah bersama Fasha Sandha dan Zamarul Hisyam.
Ditanya mengenai dua sisi dunia yang berbeza yang diceburinya kini, aktor yang berasal dari Temerloh, Pahang ini memberitahu, pada peringkat awal, dia sendiri masih mengatur langkah jitu dalam soal membahagikan masa di antara dua kerjayanya.
“Saya memulakan langkah dalam dunia lakonan secara serius sejak tahun lalu setelah menerima pelawaan seorang kenalan untuk hadir ke sesi uji bakat bagi watak ekstra dalam drama Rumi & Jawi .
Khamarul bersyukur diterima memenuhi watak itu dan dari situlah timbulnya minat untuk mencuba sebagai pelakon.
“Ya, pada awalnya agak sukar membahagikan masa di antara dua kerja. Gim dan lakonan adalah dua bidang berbeza," katanya.
Katanya, belajar dari pengalaman lalu, dia mengambil keputusan untuk terus komited dalam lakonan dan perlu bijak mengatur jadual di gim dan set penggambaran.
Khamarul juga beruntung kerana mendapat sokongan kedua orang tua dan kenalan rapat untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon.
Berkongsi perihal pelakon yang menjadi idolanya pula, anak sulung daripada lima beradik ini memberitahu, pelakon kelahiran Singapura, Adi Putra banyak memberinya inspirasi dalam lakonannya kerana keberkesanan watak yang dibawa sama ada menerusi filem atau drama.
“Saya amat mengagumi kualiti dan kredibiliti aktor ini dalam menjayakan sesebuah watak.
"Setiap peranan digalas dengan baik. Jadi tidak hairanlah meski ramai aktor muda silih berganti, Adi tetap berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Insya-ALLAH, saya juga mahu jadi sepertinya,” akui Khamarul
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: