SABAK BERNAM - Seorang guru memanfaatkan masa terluangnya pada cuti hujung minggu bersama keluarga dengan mencari hidupan laut bercangkerang seperti remis dan kijing.
Mohd Hussairy Sidek, 43, dari Sungai Besar berkata, dia bersama keluarga sekurang-kurangnya sebulan sekali melakukan aktiviti tersebut.
“Biasanya untuk aktiviti santai ini, kami pergi pada sebelah pagi dan bawa makanan bersama ke pantai Tebok Marso, kira-kira lima kilometer dari pekan Sungai Besar. Sebelum mencari remis, kami sarapan di tepi pantai sambil menikmati pemandangan bot-bot nelayan menangkap ikan,” katanya.
Remis dan kijing (juga dipanggil biji nangka oleh penduduk setempat) bukan asing bagi penduduk di pesisir pantai di daerah itu memandangkan hidupan laut itu mudah didapati di dalam pasir di tepi pantai.
Menurut Mohd Hussairy, mencari remis dan kijing ini mesti dilakukan pada waktu air laut mulai surut kerana jika air pasang, kawasan berpasir di tepi laut akan ditenggelami air.
“Mencari remis atau kijing ini tidaklah susah mana. Kita hanya perlu mengorek pasir sedalam kira-kira 15 sentimeter untuk mencari hidupan laut ini. Remis berbentuk pipih dengan kulit yang agak tebal biasanya berwarna  kecoklatan dan bercorak manakala kijing pula sedikit lonjong dengan kulit lebih nipis berwarna kehijauan,” katanya.
Katanya, anak-anaknya seramai lima orang berusia antara enam hingga 14 tahun itu yang paling gembira bila diberitahu pergi ke pantai mencari remis.
“Inilah masanya mereka dapat luangkan masa melakukan aktiviti bersama ibu mereka kerana isteri saya, Azura Jamaluddin, 39, hanya bersama keluarga pada hujung minggu sebab isteri bertugas di Putrajaya sejak hampir dua tahun,” katanya.
Menurut Mohd Hussairy, dalam tempoh dua jam, kira-kira dua kilogram (kg) remis dan kijing mampu dikumpulkan mereka anak beranak.
“Sebelum ini, pernah kami dapat cari sehingga lima kg remis dan kijing di situ bergantung tempoh masa mencarinya. Jumlah itu sudah mencukupi untuk hidangan tengah hari kami sekeluarga. Cara masaknya pun ringkas sahaja... masak tumis berlada atau rebus sahaja.
“Memandangkan remis dan kijing itu dicari dan dimasak pada hari yang sama, menjadikan rasanya yang manis dan segar serta menyelerakan,” katanya.