GEMAS - Seorang bapa mohon penjelasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung perkhidmatan Allahyarham anaknya dalam tentera yang dihentikan atas sebab tidak hadir tanpa cuti (THTC), sedangkan anaknya sakit sejak 2009.
Hamzah Ahmad, 70, berkata, arwah anaknya, Prebet Munir Hamzah memulakan perkhidmatan dalam tentera seawal usia 20 tahun pada 21 Jun 2007 dan mula mengalami demam panas setelah pulang dari operasi di sebuah kawasan hutan di Perak pada 2009.
Menurutnya, Allahyarham Munir bertugas di Batalion (BN) ke-9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) Kem Taiping dan sejak disahkan sakit, anaknya itu diberikan kebenaran cuti serta mendapatkan rawatan di hospital tentera dan terakhir dihantar ke Hospital Seri Manjung, Perak.
“Dalam perkhidmatan tentera, ini adalah kesalahan berat iaitu tak hadir bertugas dan saya akuinya. Cuma yang menjadikan saya terkilan serta kecewa, anak saya disahkan sakit juga diberikan surat. Perkhidmatan anak saya dalam tentera hanya diiktiraf sehingga 6 Januari 2015 sahaja.
“Saya rasa lebih terkilan apabila mereka dari pihak kem sendiri tak beritahu pemberhentian tugas anak saya ini kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Felda Jelai 2, di sini.
Hamzah berkata, urusan jenazah anaknya untuk dibawa pulang ke Jelai, Gemas dari Hospital Seri Manjung Perak pada 13 Disember tahun lalu, juga dilakukan mereka sekeluarga tanpa kehadiran mana-mana wakil dari pihak kebajikan tentera.
“Saya sedih dengan apa yang berlaku ke atas anak bongsu saya dan atas dasar itu saya ingin menuntut keadilan buatnya kerana dia tak pernah lari dari tugasnya. Cuma hanya kerana dia sakit, bukan sakit buat-buat dan dah suratan takdirnya begitu.
“Oleh itu, saya pergi ke Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur untuk ambil pengesahan perkhidmatan anak saya dan pergi ke Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Cawangan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan beberapa bulan lalu, untuk mengetengahkan isu pemberhentian tugas anak saya ini,” katanya.
Tambahnya, dia tetap menerima jawapan yang sama iaitu anaknya diberhentikan kerana tidak hadir tanpa cuti, sedangkan segala rekod kesihatan anaknya yang diberikan tentera sejak 2009 ada disimpannya.
“Anak saya tak lari dalam tentera, anak saya sakit, tak diiktiraf... sedangkan kerja kilang pun bila meninggal dunia ada wakil dari pihak kebajikan yang datang, tapi mereka tak datang atau setidak-tidaknya hantar wakil.
“Cuma rakan-rakan anak dalam tentera sahaja yang ada menziarahinya di hospital dan bukan pihak kebajikan. Saya harap agar pihak kementerian dapat ambil serius perkara ini,” katanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: