TERKENAL sebagai sebuah perkampungan yang sedang pesat membangun dan laluan alternatif ke beberapa kawasan sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, namun tidak ramai mengetahui asal-usul nama Kampung Jenjarom dan kisah-kisah dalam kampung itu.
Sinar Harian berkesempatan berbual santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Jenjarom, Ma'min Radiman yang merupakan anak jati kampung berkenaan.
Sambil memaklumkan kebanyakan orang lama di situ sudah tiada, Ma'min memberitahu, beberapa kisah pernah didengarnya termasuk asal usul nama kampung dan detik awal penerokaannya oleh sekumpulan orang Melayu pada 1926 bersamaan 1346 Hijrah.
"Kumpulan peneroka itu diketuai Tuan Haji Masrek Haji Narang yang berketurunan Banjar. Asalnya ia diterokai sebagai kawasan perkebunan untuk mengusahakan tanaman nanas, pisang, ubi kayu dan banyak lagi.
"Dulu bila selesai berkebun, kumpulan peneroka itu akan pulang ke rumah masing-masing yang terletak berhampiran Kampung Jenjarom seperti di Sungai Jarom, Sungai Buaya dan Kampung Sijangkang," katanya.
Menurutnya, ketika itu peneroka berkenaan menggunakan sampan untuk berulang-alik ke Kampung Jenjarom kerana ia adalah antara pengangkutan paling popular dengan sungai menjadi laluan menuju ke sesebuah kampung.
"Saya dengar cerita, pernah beberapa kali penduduk yang menaiki sampan dibaham buaya sebab terjatuh di sungai. Faham-fahamlah kalau sudah namanya sungai, mesti ada buaya.
"Saya tak pasti kenapa boleh jatuh, tapi kisah kena makan buaya tu memang selalu didengari daripada orang-orang tua dulu," katanya.
Asal nama Jenjarom
Menurut Ma'min, Jenjarom dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Sungai Jarom dan Kampung Jenjarom yang mana kedua-dua kawasan itu diterokai oleh orang Melayu dan kedudukan kawasan kampung yang begitu hampir dengan sebatang anak sungai (Sungai Jarom) menguatkan cerita tersebut.
"Bentuk sungai itu panjang dan tirus...macam jarum. Sebab itu dipanggil Sungai Jarom dan nama kawasan ini diambil sempena nama sungai itu.
"Walaupun sekarang ini Sungai Jarom jadi penempatan kaum Cina, tapi kesan penempatan orang Melayu masih ada di situ, seperti tanah perkuburan Islam yang terletak di belakang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jenjarom.
Dalam pada itu katanya, terdapat cerita lama yang mengatakan nama Kampung Jenjarom berasal dari sejenis tumbuhan dikenali sebagai rumput purun yang banyak tumbuh di sekitar kawasan kampung itu.
"Bentuk tumbuhan itu yang tirus, tajam dan tersusun macam jarum memberi ilham kepada peneroka untuk menamakan kampung ini sebagai Jenjarom.
"Mereka kata masyarakat Jawa panggil tumbuhan itu rumput purun sebab daunnya tersusun panjang macam jarum. Kami cuba cari untuk buat profil kampung tapi tak pernah jumpa tumbuhan itu di kampung ini," katanya.
Hilang identiti Banjar
Dalam pada itu, Ma'min memberitahu, sungguhpun tidak dinafikan kebanyakan penduduk Kampung Jenjarom berketurunan Banjar, namun identiti Banjar dilihat sudah hilang pada masa kini.
Menurutnya, kebanyakan penduduk di kampung tersebut mengamalkan corak kehidupan masyarakat Jawa disebabkan faktor perkahwinan dan pergaulan.
"Tapi saya percaya masih ada yang mengamalkan corak kehidupan orang Banjar...tapi tak macam dulu la. Tapi yang saya tahu, kebanyakan nama jalan di kampung ini diambil sempena nama bekas-bekas ketua kampung termasuk ketua kampung pertama,  Masrek Narang yang terletak di sebelah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom.
"Banyak nama jalan dinamakan sempena ketua kampung, jadi mudahlah generasi muda ambil tahu siapa mereka ini, termasuk nama ketua-ketua kampung lain seperti Ibrahim, Yusof, Mokhtar, Mohd Somo dan Muzakir," katanya.
 Pernah menang anugerah
Di hujung bicara, Ma'min memberitahu, Kampung Jenjarom pernah mendapat beberapa penghargaan yang tidak akan dilupakan kebanyakan penduduknya, termasuk Anugerah Kampung Terbaik Peringkat Negeri Selangor pada 1999.
Kampung itu turut menerima pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) pada 2000 sebagai Kampung Gerakan Daya Wawasan dan diiktiraf sebagai Komuniti Bestari pada 2003 oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).