
Saifuddin menunjukkan udang yang dijual di gerainya di Pasar Besar Kedai Payang.
KUALA TERENGGANU – Udang gred A termasuk udang harimau dan udang putih bersaiz besar bagai ‘goreng pisang panas’ dan kini mula dijual di pasar-pasar basah di sekitar Kuala Terengganu.
Walaupun harganya boleh mencecah RM90 hingga RM130 sekilogram, masih ada yang sanggup membelinya terutama masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina, yang bakal disambut, pada bulan depan.
Seorang peniaga, Yusri Ngah, 46, pada kebiasaannya, apabila mula sahaja musim tengkujuh sekitar November, udang harimau mula ‘menjengah’ tetapi berbeza pada tahun ini, ia agak lambat kerana tengkujuh tidak begitu ‘menjadi’.
“Sekarang udang harimau banyak diperoleh dan mula dijual. Walaupun harganya boleh mencecah RM90 hingga RM130 sekilogram, namun masih ada yang sanggup membelinya.
“Selain udang harimau, udang putih juga menjadi pilihan masyarakat Tionghua. Tetapi mestilah besar-besar, sekitar RM70 hingga RM90 sekilogram,” katanya semasa ditemui di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.
Perkara tersebut turut diakui seorang lagi peniaga, Saifuddin Mohd, 27, berkata, meskipun harga mahal tetapi berbaloi kerana keenakan sumber protein ini yang tiada tandingi dengan udang jenis lain.
“Pembeli hanya akan mencari saiz besar-besar sahaja dan sebab kalau saiz kecil, bukan musim ini pun sudah biasa makan,” katanya.
Menurutnya, udang boleh disimpan lama, jika menggunakan kaedah penyimpanan yang betul.
Sementara itu, bagi Chua Fong Ling, 60, sempena Tahun Baharu Cina, dia membeli beberapa kilogram udang harimau dan udang putih.
Menurutnya, ‘makan besar’ bersama ahli keluarga, wajib pada sambutan Tahun Baharu Cina kerana semua anak-anak akan pulang untuk menyambut perayaan tersebut jadi perlu menyediakan hidangan istimewa.
“Beli awal-awal murah sikit sebab semakin dekat dengan Tahun Baharu Cina, harganya makin meningkat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: