Thursday, January 28, 2016

Optimis jualan restoran meningkat




Optimis jualan restoran meningkat
Rashidah menunjukkan croissant menggunakan resipi sendiri dipelajarinya di England tahun lalu.
KARAVAN Steak Hub merupakan hasil titik peluh wanita bernama Rashidah Yusoff, 41, sebelum berhenti kerja di sebuah bank.
Mula beroperasi pada Jun lalu, restoran tersebut menekankan hidangan barat seperti stik lembu dan kambing.
Minat mendalam dalam dunia perniagaan menyebabkan dia tidak pernah putus asa walaupun pernah dilanda badai.
“Saya mula berjinak dalam perniagaan pada 2002 dan pernah mengusahakan kafe di sebuah universiti tempatan selama lapan tahun.
“Namun perniagaan itu tidak dapat diteruskan setelah kontrak tamat dan mengambil keputusan untuk belajar bakeri,” katanya.
Sanggup terbang ke England demi menuntut ilmu dalam bidang itu selama sebulan, akhirnya dia nekad membina empayar perniagaan sendiri.
Selepas habis belajar, Rashidah membuka perniagaan online dalam pelbagai aneka kek dan  pastri.
“Perniagaan tidak lama, setahun kemudian saya mengambil keputusan untuk membuka restoran ini.
“Karavan Steak Hub diilhamkan daripada nama restoran popular di Istanbul dan menambah ‘Steak Hub’ di belakangnya,” katanya.
Impiannya dengan pembukaan restoran itu dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai daging seperti black angus, wag’yu, black angus, tenderloin, grass fed animal dan kambing.
Bagi mengekalkan rasa daging import iaitu lembu dan kambing, dia tidak menggunakan bahan perasa, garam gantian dan penambah rasa.
Katanya, daging premium halal ditawarkan kepada pelanggan dari Australia dan New Zealand tanpa menerusi proses sejuk beku.
Sasar 1,000 biji sebulan
Sejak akhir-akhir ini, industri pastri kian menjadi tumpuan ramai apatah lagi permintaan daripada masyarakat terhadap makanan itu.
Bagi Rashidah, kehadiran croissant dapat menarik perhatian umum apatah lagi hidangan itu sesuai dijadikan sebagai hidangan pagi dan petang.
Croissant harga RM3.50 sebiji mampu dimiliki oleh sesiapa dengan kelembutan pastri itu memikat penggemarnya.
“Walaupun croissant tidak sepopular donut, puding atau roti, namun ia bakal menambat hati bagi penggemar pastri.
“Saya hasilkan hidangan ini bagi menambah kelainan untuk pengunjung ke restoran,” katanya.
Tambahan pula ujarnya, ia merupakan buatan sendiri dengan menyasarkan masyarakat sekitar TTDI, Damansara dan Lembah Klang.
"Hidangan tersebut turut dihidangkan bersama mentega dan jem strawberi buatan sendiri menjadikan ia unik berbanding pastri lain.
“Dengan adanya croissant, saya menjangkakan jualan pastri ini sehingga 1,000 biji sebulan.
“Walaupun hidangan stik lembu dan kambing menjadi keutamaan kami, namun berharap croissant dapat menambahkan rasa kepada pengunjung,” katanya.
Selain croissant, restoran tersebut turut menawarkan pelbagai jenis pastri seperti kek, brownies dan pavlova.
Rashidah turut mengadakan ‘uji rasa’ di kalangan ahli Peniagawati Malaysia dan menerima sambutan positif terhadap resipi baharunya itu.  
Kolaborasi bersama Suri
Selain itu, restoran tersebut turut bekerjasama dengan Single Mum, Recreative and Innovative Association (Suri) bagi projek istimewa bersama ibu tunggal.
Pengasasnya, Salena Ahmad berkata, selari dengan pelancaran hidangan baharu itu dia berkolaborasi bersama pemilik Karavan Steak Hub.
“Projek ini bagi membantu golongan ibu tunggal berpendapatan rendah mencari rezeki sampingan.
“Saya mengutamakan mereka yang bergaji RM800 dan ke bawah untuk menyertai projek amal ini,” katanya.
Menurutnya, projek amal tersebut berjaya mengutip 100 helai seluar jeans dalam masa sehari.
Bahkan ahli Peniagawati Malaysia turut menyumbangkan seluar terpakai bagi diguna semula sebagai kraftangan.
“Kami melatih ibu tunggal supaya mereka mempunyai pendapatan lain bagi menampung kehidupan mereka.
“Golongan sasaran adalah mereka yang tinggal di kawasan kampung dan pedalaman mempunyai kesukaran untuk bergerak jauh kerana tanggungjawab lain,” katanya.
Salena berkata, jeans yang dikumpul dijadikan pelbagai bentuk kraftangan terutamanya beg wanita.
Projek tersebut juga membantu beri kesedaran kitar semula dan kepentingan alam sekitar kepada manusia.
Persatuan tersebut membuka kempen itu kepada orang ramai dan mengumpulkan sebanyak mungkin seluar itu untuk dijadikan kraftangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: