Saturday, January 30, 2016

Hidayah Milik ALLAH




Hidayah Milik ALLAH

ASALNYA, penceramah agama ini adalah jurutera, kemudian beralih pula kepada guru, namun dek minat mendalam terhadap bidang dakwah sekali gus menukar profesionnya kepada pendakwah.
Istimewanya, pendekatan digunakan empunya nama Ustaz Abdullah Khairi Haroon sangat menarik sehingga menjadikannya digemari semua generasi tidak kira muda mahupun tua.
Masakan tidak, ceramah disampaikan bersahaja, lawak ketawa serta cukup santai.
Kerana itu, Abdullah Khairi menjadi pilihan tepat dalam menjalinkan kolaborasi dengan Ustaz Fakhrul dari kumpulan UNIC.
Jelas Fakhrul atau nama sebenarnya, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, kerjasama terjalin di antaranya dengan ustaz berusia 49 tahun itu adalah melalui penerbitan album, Hidayah Milik ALLAH yang dilancar sejak empat bulan lalu.
“Album ini gabungan konsep kata-kata nasihat dan juga zikir. Mungkin boleh juga dianggap sebagai album tazkirah.
“Beliau menyumbang daripada segi kata-kata nasihat yang berbentuk motivasi, penceritaan, monolog mahupun kata-kata hikmah, manakala saya pula berteraskan zikir munajat.
“Ini merupakan kerjasama pertama kami berdua memandangkan beliau sendiri punya peminat yang ramai di luar sana.
“Jadi, saya rasa tidak salah jika kami bergabung dan hasilkan album bersama,” katanya kepada Zass.
Menurut Fakhrul, album yang mengambil masa selama lebih empat bulan untuk dirakamkan ini mempunyai 14 zikir kesemuanya.
Zikir itu ialah Zikir Subhanallah, Hebatnya Seorang Guru, Zikir Al-Malik Al-Haq, Hidayah Milik ALLAH,  Zikir Lailahaillallah, Kisah Pendakian Jabal Nur, Selawat Ya Rabbi Solli, Marilah Mencintai Nabi, Zikir Ya ALLAH, Aku Kembali Ya ALLAH, Zikir Istighfar, Doa Seorang Hamba dan Sajak Kematian.
“Setiap zikir diselang-selikan penyampaian ceramah daripada Abdullah Khairi.
“Menariknya, zikir berkenaan adalah zikir munajat yang mudah dihafal, tetapi diberi nafas baru agar lebih segar.
“Setiap zikir itu dirakamkan semula secara langsung sambil diiringi dua instrumen muzik bagi mendatangkan ‘mood’ kepada pendengar,” katanya.
Sebagai bonus, katanya, UNIC sendiri turut menyumbang suara menerusi lagu Ummi yang dinyanyikan semula sambil diiringi dengan bacaan sajak bagi mencipta kelainan.
“Biasanya, dalam lagu ada diselitkan lagu rap, tetapi bagi memberi sedikit perbezaan, kita menggunakan pendekatan bacaan sajak.
“Lagi pula, lagu ini lebih dekat dengan masyarakat yang berkisar di antara hubungan ibu dan anak,” katanya.
Sudah terjual lebih 5,000 unit, kata Fakhrul, album itu mendapat sambutan  memberangsangkan daripada peminat.
“Alhamdulillah, jujurnya, kami memang berfokus terhadap penjualan album ini.
“Tak sangka tnerima sambutan hebat daripada orang ramai. Insya-ALLAH, hasil kejayaan album ini menjadikan semangat saya berkobar-kobar untuk menjalinkan kolaborasi dengan ustaz selebriti lain.
“Setakat ini, semua itu masih di peringkat perbincangan,” katanya.
Terbit program TV sendiri?
Sementara itu, Fakhrul turut berkongsi perkembangan terbaru UNIC terutama perancangan kumpulan duo itu pada 2016.
Kata Fakhrul, UNIC berhasrat membesarkan syarikat rakaman milik mereka selain berusaha menerbitkan album baharu artis naungan mereka setiap bulan.
“Selain terbit album sendiri, kita juga terbit album ceramah daripada ustaz selebriti seperti Ustaz Syed Abd Kadir Aljoofre, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Elias Ismail.
Selain itu, katanya, UNIC akan bertolak ke Makkah dan Madinah hujung bulan ini sehingga 20 Februari depan bagi mempelajari selok-belok keadaan di sana demi memenuhi keperluan projek akan datang.
“Kami jalankan projek untuk sebuah program televisyen (TV) tidak lama lagi.
“Jadi, kami sendiri akan jalani proses penggambaran di sana,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: