Friday, January 22, 2016

Isey (Mentor Milenia) Terkena Jangkitan Kuman Pada Usus




Isey tahan sakit akibat gastrik sejak sebulan lalu.
PETALING JAYA: Pengacara Mentor Milenia, Isey Fazlisham terpaksa ditahan selama empat hari di Pusat Perubatan Prince Court, dekat sini, selepas terkena jangkitan kuman pada usus. 
Isey atau nama sebenar Fazlisham Mat Hussin, 28, berkata, dia dibawa ke pusat perubatan tersebut pada pagi Isnin lalu selepas mengalami sakit perut akibat gastrik yang teruk. 
Dia bagaimanapun dibenarkan pulang petang Khamis.
"Saya menghidap gastrik sudah lama tetapi sejak sebulan lebih ini penyakit itu semakin teruk dan hampir setiap hari. Doktor memberitahu penyakit gastrik yang saya tahan lebih sebulan ini telah mengakibatkan saya terkena jangkitan kuman pada usus.

"Sebenarnya doktor masih tidak benarkan pulang kerana belum pulih sepenuhnya, namun saya berdegil untuk rehat di rumah sahaja," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.

Isey dirawat di Pusat Perubatan Prince Court empat hari sejak Isnin lalu.
Isey berkata, dia pernah mengalami penyakit gastrik teruk sebelum ini beberapa tahun lalu ketika masih menuntut di universiti.
Sementara itu, katanya, doktor menasihatkannya supaya lebih banyak berehat dan tidak boleh mengambil makanan keras dalam tempoh sebulan.
"Doktor beritahu usus saya sudah bengkak dan saya perlu banyak berehat serta tidak boleh makan makanan keras buat masa ini.
"Nasib baik juga program Mentor Milenia Ahad ini tiada kerana beri laluan kepadaAnugerah Juara Lagu 30, jadi bolehlah saya berehat untuk persediaan minggu depan," ujarnya.

Tambah Isey, dia lebih menyedari penyakit gastrik yang dianggap sebagai satu penyakit tidak berbahaya boleh membawa kemudaratan jika tidak dirawat daripada awal.

"Saya ambil lewa untuk rawatan gastrik ini kerana saya sangka ia tidak bahaya dan penyakit biasa. Tapi bila kita biarkan ia sebenarnya beri kesan lebih teruk pada kesihatan," ujarnya.
Isey bergandingan dengan Marsha Milan Londoh dalam program Mentor Milenia yang bersiaran setiap Ahad di TV3 pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: