Monday, January 25, 2016

Lufya: Jual tudung untuk saham akhirat



Lufya: Jual tudung untuk saham akhirat
Lufya
SETELAH hampir setahun berhijrah, penyanyi, Lufya Omar dilihat turut mengikuti jejak langkah selebriti lain mengeluarkan tudung jenama sendiri, Luffy Luffy Scarves by Lufya.
Bakal dilancarkan tidak lama lagi, Lufya berkata, hasrat menceburi bidang perniagaan itu telah dirancang rapi sejak tujuh bulan lalu.
Menyedari perniagaan itu berdepan saingan hebat, sementelah ramai selebriti tampil dengan produk sama, ia bagaimanapun tidak menjadi penghalang bekas pelajar Akademi Fantasi ini.
Kata Lufya, dia yakin ALLAH akan memberi rezeki pada setiap umat yang berusaha dan dia cuba sebaik mungkin untuk berjaya seperti orang lain.  
“Bagi saya, buat tudung adalah perniagaan yang baik bukan kerana mahu bersaing sahaja.
“Selain dapat penuhi permintaan peminat, hak artis itu untuk memiliki tudungnya sendiri.
“Begitu juga dengan saya menginginkan untuk memiliki tudung sendiri di mana peminat boleh ikut perkembangan fesyen yang saya pakai sekarang,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis bertemu dengannya sebagai duta butik vendor Pret A Porter, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Lufya menegaskan, dia bukanlah mahu mengejar keuntungan berlipat kali ganda semata-mata, sebaliknya mahu mencari keberkatan dalam rezeki halal.
“Saya ceburi perniagaan ini kerana ia halal dan mahu keberkatan, serta saya tak jual mahal kerana memang bukan nak kaya mendadak.
“Dalam Islam juga ada menekankan yang berniaga itu bukan untuk mencari keuntungan berlebihan,” katanya.
Selain itu, melalui pemerhatiannya, dia sudah nampak satu perubahan besar apabila semakin ramai rakyat Malaysia mahu berhijrah ke arah lebih baik terutama berhijab.
“Justeru, saya ingin berada di kalangan mereka yang ingin berhijrah itu untuk saya dapatkan sedikit saham akhirat.
“Apabila saya hasilkan tudung, kemudian orang pakai untuk tujuan menutup aurat, maka saya akan dapat sedikit pahala, itu yang saya mahukan,” katanya.
Ajak tutup aurat
 Baginya, bertudung mungkin semakin disukai masyarakat kerana pelbagai fesyen yang boleh digayakan bagi mengekalkan penampilan diri masing-masing.
“Selain turut sama berdakwah, saya inginkan lagi ramai orang mahu berhijrah untuk bertudung kerana selain menutup aurat, mereka juga masih boleh berfesyen.
“Si pemakai juga tidak lagi merasa diri mereka lebih tua apabila berhijab, mereka masih kelihatan muda dan cantik,” katanya.
Berkongsi pula mengenai tudungnya itu, Lufya memberitahu, terdapat dua jenis tudung yang dia hasilkan iaitu Magic Instant dan Shawl.
“Dua tudung yang menggunakan kain chiffon itu terdapat lebih 40 warna sama ada boleh dapatkannya dalam talian serta butik vendor yang juga bakal dibuka yang diberi nama Pret A Porter.
“Harga berpatutan. Bagi saya, ia sangat murah walaupun material tudung menggunakan bahan eksklusif yang tidak boleh ditemui di mana-mana kilang.
“Material saya gunakan adalah jahitan sequin yang dibuat khas oleh satu kilang luar negara dengan mesin khas. Memang orang sukar untuk ciplak rekaan tudung saya ini, namun saya jual dengan harga murah sahaja,” katanya.
Pilih lagu Islamik
Pernah mengeluarkan kenyataan yang dirinya mahu berhenti dari bidang nyanyian apabila sudah berhijab, Lufya seakan menarik semula kenyataan itu apabila kini dia sudah mendapatkan penjelasan mengenai isu berkenaan.
“Setelah setahun belajar usrah mencari ilmu, saya dapat jawapan. Perkara ini ada khilaf, bukan perempuan tidak boleh nyanyi.
“Boleh nyanyi, asal menutup aurat dan tidak membawa kepada syahwat dan liriknya tidak boleh bertentangan dengan Islam.
“Lagu-lagu cinta berlebihan juga tidak boleh, justeru itu saya menunggu waktu yang sesuai untuk kembali menyanyi yang lebih ke arah Islamik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: