KURANG dua minggu lagi Konsert 5 Divo yang menggabungkan penyanyi daripada tiga negara iaitu Hafiz Suip, Hazama, Afgan, Judikan dan Taufiq Batisah bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.
Menjanjikan sesuatu yang berlainan yang belum pernah disaksikan penonton, penganjurnya Laugh Out Loud Entertainment (LOL) mengharapkan peminat setia 5 Divo yang ditampilkan pada konsert itu nanti tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri persembahan penuh prestij itu.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharu konsert yang dirancang pada 13 Februari ini, Pengarah Urusannya, Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi berkata persediaan konsert kini telah dilakukan secara lebih teliti.
“Perbincangan daripada segala aspek telah dilakukan dengan lebih teliti. Untuk pemilihan lagu, pihak kami telah berbincang dan memberi senarai lagu kepada penyanyi yang terlibat untuk memilih yang mana lebih bersesuaian untuk dinyanyikan.
“Dari segi kewangan, kami masih lagi mencari beberapa penaja selain membuat tinjauan orang ramai untuk hasil konsert yang memuaskan,” jelasnya ketika sidang media Konsert 5 Divo, baru-baru ini.
Pada masa sama, Dafi memberitahu konsert tersebut juga bakal digegarkan dengan nyanyian lima penyanyi dalam satu persembahan.
“Setiap penyanyi akan membawa lebih kurang empat lagu di mana secara solo dan juga duet.
“Yang lebih istimewa, terdapat juga segmen di mana ke lima-lima artis ini akan bergabung menyampaikan dua buah lagu.
“Selain kehebatan lima penyanyi, malam konsert yang mengangkat tema cinta itu turut diserikan dengan alunan muzik orkestra di bawah bimbingan ikon pengarah muzik iaitu Datuk Ramli MS.
“Secara peribadinya, saya sendiri sangat teruja untuk menontonnya dan pasti ia bakal meninggalkan momen indah buat penonton yang hadir.” katanya penuh yakin.
Tiket percuma
Sementara itu, Dafi turut memaklumkan sebanyak 30 peratus tiket konsert telah terjual sejak 28 Disember lalu.
“Alhamdulillah, penjualan tiket berjalan dengan baik walaupun sebenarnya saya agak risau dengan keadaan awal tahun.
“Tapi saya percaya dengan kelebihan menampilkan nama-nama besar ini mampu menjadi tarikan utama untuk orang ramai membeli tiket menyaksikan konsert ini,” ujarnya.
Sebagai tarikan lain, pihak LOL juga telah menjalankan kuiz di sosial media Instagram untuk lima pemenang bertuah memiliki tiket percuma ke konsert.
Untuk mendapatkan tiket percuma, orang ramai hanya perlu berkongsi video berdurasi 15 saat yang menceritakan tentang cinta berserta hash\tag #5Divo dan #Konsert5Divo.
Selain itu, tiket konsert juga boleh didapati menerusi talian www.ticketpro.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: