Wednesday, January 27, 2016

Murid berjaya harum nama negara



Murid berjaya harum nama negara
Muhammad Adib (depan, kanan) dan abangnya, Muhammad Adam bergambar bersama tetamu jemputan semasa majlis berkenaan.
BANDARAYA MELAKA - Kejayaan seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak memenangi Kejohanan Skuasy Junior Oceania 2016 yang diadakan di Australia minggu lalu, bukan sahaja berjaya mengharumkan nama Malaysia, tetapi juga Melaka di arena sukan antarabangsa.
Kejayaan Muhammad Adib Zahirrudin, 10, menjadi lebih manis apabila lawannya, seorang lagi peserta negara, Muhammad Alif Hassin, turut berjaya ke perlawanan akhir yang diadakan di Cabrador Squash Centre, Gold Cost, Australia.
Selain Malaysia, kejohanan itu turut disertai pemain tuan rumah Australia serta pemain dari New Zealand, Sri Lanka, Jepun dan Papua New Guinea.
Dalam perlawanan akhir itu, Muhammad Adib berjaya menundukkan Muhammad Alif 11-8, 11-6, 11-5, sekali gus membolehkan beliau menjuarai kategori 11 tahun pada kejohanan berkenaan.
Malah, abangnya, Muhammad Adam, turut mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan untuk kategori bawah 13 tahun. Bagaimanapun, beliau sekadar menamatkan saingan di tempat kelapan.
Menurut Guru Besar SK Tanjung Minyak, Md Isa Budin, kejayaan Muhammad Adib itu sekali gus telah membantu melonjakkan nama sekolah berkenaan, selain mengharumkan nama Malaysia dan Melaka di persada sukan antarabangsa.
Menurutnya, pengorbanan kedua ibu bapa Muhammad Adib, yang guru di sekolah terbabit amat dihargai kerana mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membolehkan Muhammad Adib menyertai kejohanan berkenaan.
Selain itu, ibu bapanya turut berperanan membawa Muhammad Adib dan abangnya untuk menjalani latihan skuasy di bawah bimbangan jurulatih skuasy negeri dari Pakistan, Ifrahim Gul, di Kompleks Gelanggang Skuasy di Kompleks Sukan Hang Jebat.
“Kejayaan ini sekali gus dapat mengharumkan nama sekolah SK Tanjung Minyak selain nama Melaka dan Malaysia di persada antarabangsa.
“Pihak sekolah turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa mereka yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri membiayai kos menyertai kejohanan tersebut. 
"Sekolah amat berbangga dengan pencapaian beliau kerana ia membuktikan yang kita juga mampu mencapai kejayaan sekiranya kita berusaha ke arah itu,” katanya semasa majlis meraikan kejayaan Muhammad Adib di sekolah berkenaan, semalam.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah, Abdul Halim Abdul Malik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: