SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, namanya dilihat seakan sepi dalam industri hiburan tempatan.
Bahkan ada yang menganggap anak kepada penyanyi veteran Salamiah Hassan ini bersara dari industri seni, sementelah dia dilihat lebih mengutamakan pengurusan pusat yoga miliknya, Yoga One That I Want.
Mengakui perjalanan bidang nyanyiannya bergerak perlahan, Atilia bagaimanapun menafikan karier seninya sudah berakhir seperti mana tanggapan sesetengah pihak.
“Saya akui sejak beberapa tahun ini hidup saya lebih tertumpu dengan menguruskan studio yoga. Tambahan pula sekarang ia sudah berkembang kepada tujuh cawangan di sekitar Lembah Klang.
“Tapi dalam kesibukan itu sebenarnya saya masih aktif dengan memenuhi undangan nyanyian dalam majlis-majlis korporat.
“Mungkin saya kurang muncul di kaca televisyen dan mungkin sebab itu juga saya jarang dilihat menyanyi.
“Tapi bagi peminat yang selalu mengikuti perkembangan saya di sosial media, mereka tahu saya masih aktif,” katanya ketika ditemui pada pelancaran single terbaharunya, Aku Curiga baru-baru ini.
Menurut Atilia, perkahwinan keduanya dengan jurutera bunyi, Adam Sofian sejak 2014 turut menjadi salah satu faktor dia memperlahankan karier seninya.
“Ada orang kata saya tidak mahukan anak kerana ingin jaga badan dan ia tidak benar sama sekali.
“Malah, anak adalah anugerah yang benar-benar kami inginkan dan sentiasa berusaha ke arah itu namun, rezeki masih belum menyebelahi kami,” jelasnya.
Menyedari dirinya terlalu leka dan memandang ringan pada nyanyiannya, Atilia atau nama sebenarnya Raja Puteri Atilia Raja Haron, 42, mahu kembali fokus dengan nyanyian setelah beberapa tahun tidak tampil dengan sebarang album.
“Saya tidak pernah anggap saya kembali ke arena muzik kerana saya tidak pernah meninggalkan industri ini.
“Cuma apa yang saya janjikan selepas ini saya akan lebih aktif dalam membuat persembahan, lebih kreatif dalam menghasilkan muzik yang saya bawa dan juga lebih banyak bertemu peminat,” jelasnya.
Aku Curiga
Bercerita lanjut mengenai single berjudul Aku Curiga, Atilia memberitahu ia adalah merupakan lagu asal nyanyian ibunya sendiri yang dilancarkan pada era 80an.
Turut memberikan nafas baharu pada lagu tersebut, kata Atilia, ia adalah sebagai tanda penghargaan terhadap ibunya.
“Saya rasa bangga kerana menyanyikan lagi ibu sendiri. Lagu ini diselitkan dalam album kelima dan ia tidak begitu mendapat perhatian berbanding lagu hit ibu yang lain.
“Saya sendiri sangat suka dengan muziknya yang sangat dekat dengan saya.
“Lagi pun saya rasa ramai peminat muzik yang merindui genre seperti ini untuk didengarkan dan saya yakin lagu ini akan lebih mudah diterima,” katanya teruja.
Sementara itu, Atilia sempat berkongsi berita gembira apabila album ketiganya bakal dilancarkan Mei ini.
“Setakat ini sudah ada lapan buah lagu yang telah siap dan hanya tinggal dua lagu lagi yang belum dirakamkan.
“InsyaALLAH, jika semuanya berjalan dengan lancar ia akan dilancarkan pada Mei ini.
“Kalau bercakap mengenai konsep dan muzik, saya memilih untuk kembali pada album pertama iaitu Sangkar yang saya rasa lebih dekat dan bersesuaian dengan diri saya yang sekarang,” katanya.
Selain memiliki lagu duet bersama ibunya Jewel Of My Heart, Atilia turut menampilkan lagu duet bersama Adibah Noor iaitu Sandaranku dan single kedua, Segalanya duet, bersama Lokman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: