Teknik pembelajaran berlagu memastikan peserta tidak bosan dalam menghayati pemahaman teknik Cordobana dalam pembacaan al-Quran.
TAIPING - Seminar Teknik Cordobana Belajar Membaca al-Quran Sistem 3 Hari julung kali diadakan di Perak mendapat sambutan luar jangkaan apabila menerima penyertaan terbanyak sejak program itu diperkenalkan tahun lalu.
Lebih membanggakan, program dibawa khas Akademi Cordoba Sdn Bhd dengan kerjasama Rumah Ngaji Taiping berjaya menarik jumlah penyertaan 77 orang, sekali ganda lebih tinggi berbanding jumlah penyertaan program itu di beberapa negeri sebelum ini.
Ketua Pegawai Operasi Akademi Cordoba Sdn Bhd, Azam Aris berkata, kejayaan pecah rekod bagi program dianjurkan bermula semalam hingga Ahad ini bertempat di Hotel Taiping Perdana, membuktikan orang ramai kini mula menyedari keberkesanan penggunaan teknik Cordobana dalam meningkatkan keupayaan pembacaan al-Quran.
Menurutnya, teknik Cordobana dibawa khas dari Indonesia ternyata bukan sahaja menjamin peserta mendalami teknik pembacaan al-Quran dengan lebih mudah dan lancar, malah turut menerapkan aspek keseronokan sewaktu menimba ilmu.
“Melalui program ini, peserta akan didedahkan teknik mengenali huruf al-Quran pada hari pertama, teknik tasydid al-Quran pada hari kedua sebelum diberi peluang membaca al-Quran secara berjemaah pada hari terakhir.
“Pendekatan teknik Cordobana dalam bacaan al-Quran agak unik kerana menekankan konsep pembelajaran berjemaah, sekali gus membolehkan peserta hilang rasa rendah diri di atas kekurangan kemampuan mereka membaca al-Quran dengan baik.
“Meskipun seminar pengajian dijalankan berterusan selama 8 jam, kaedah pembelajaran berlagu memastikan peserta berasa seronok dan fokus dalam mendalami teknik disampaikan,” katanya.
Azam berkata, permintaan orang ramai menyertai program dianjurkan di sebelah utara Semenanjung Malaysia kini semakin menggalakkan dan pihaknya merancang untuk memperbanyakkan program sedia ada di negeri Perak.
Buktinya, Azam menegaskan program kali ini menyaksikan penyertaan seramai 20 mualaf yang mendapat tajaan pelbagai pihak di samping kehadiran seorang warga emas berusia 75 tahun.
“Setiap peserta dikenakan yuran seumur hidup RM750, namun mereka boleh menghadirkan diri pada setiap program sama diadakan di seluruh negara secara percuma.
“Kami cuba menerapkan konsep program pengajian sepanjang hayat kepada setiap peserta, cuma mereka perlu menampung kos perbelanjaan makan sahaja pada setiap program sama disertai akan datang,” katanya.
Azam berkata, program kali ini turut menyediakan sepuluh tenaga pengajar untuk memberikan khidmat pengajian peribadi kepada setiap peserta bagi memantapkan pemahaman teknik Cordobana yang dipelajari.
“Saya berharap kesemua peserta lebih yakin pada diri untuk mengamalkan pembacaan Al-Quran sepanjang hayat mereka setelah mengikuti program ini.
“Mana-mana individu yang ingin belajar teknik Cordobana dalam memantapkan bacaan Al-Quran mereka, saya sarankan sertailah kursus ini kerana terbukti memberi impak sangat positif kepada peserta,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Seminar Teknik Cordobana Belajar Membaca AL-Quran Sistem 3 Hari boleh terus hubungi Azam di talian 019-2165175 dan Hanita (019-3955506) untuk pencerahan maklumat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: