Sunday, January 24, 2016

Dua beranak miskin dapat perhatian



Dua beranak miskin dapat perhatian
Mek Nab dan Kasmawati di pintu rumah mereka yang usang dan daif di Kampung Bechah Peleting, Tanah Merah
TANAH MERAH - Kesempitan hidup menyebabkan seorang wanita warga emas dan anak perempuannya terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan di sebuah rumah usang di Kampung Bechah Peleting, dekat sini.
Walaupun Mek Nab Kadir, 60, dan anaknya, Kasmawati Ariffin, 35, mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun elaun bulanan itu sekadar cukup untuk menampung belanja harian mereka.
Lebih membebankan, Kasmawati yang menghidap penyakit buah pinggang kronik terpaksa membelanjakan sebahagian besar elaun diterimanya bagi menampung kos perubatan.
Penghulu Mukim Bechah Peleting, Ansurullah Othman berkata, kehidupan dilalui Mek Nab dan Kasmawati memang perit kerana hanya mengharapkan bantuan bulanan JKM untuk sara hidup.
“Jika ada pihak nak bantu baik pulih rumah mereka, saya amat bersetuju kerana rumah mereka sekarang sudah terlalu usang dan memang layak dibaiki segera.
“Kalau nak harapkan mereka baiki sendiri rumah ini memang tak mampu kerana elaun JKM hanya cukup untuk tampung belanja dapur dan kos ubat Kasmawati,” katanya.
Ansurullah atau lebih dikenali dengan nama panggilan Penghulu Isa berkata, keadaan rumah itu cukup daif terutama bahagian dinding yang reput selain bumbung dan tangga rumah rosak.
Justeru, dia mengucapkan terima kasih dan bersyukur apabila keperitan hidup dua beranak itu mendapat perhatian Adun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Katanya, pada kunjungan tersebut, Abdul Fattah yang juga Yang Dipertua Pas Tanah Merah turun padang bagi menyampaikan bantuan orang kurang upaya (OKU) kepada Kasmawati.
“Datuk (Abdul Fattah) juga beri perhatian kepada masalah rumah usang yang didiami dua beranak ini dan akan mengemukakan permohonan baik pulih rumah untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, Abdul Fattah memberitahu, pihaknya bercadang mengemukakan nama dua beranak itu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk bantuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: