Orang ramai menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga di Pusat Rekreasi Lubuk Timah.
IPOH – Kawasan perkelahan Lubuk Timah yang dahulunya sepi kini sudah berubah wajah selepas beberapa kemudahan di situ dinaik taraf.
Pengarah Urusan Pusat Rekreasi Lubuk Timah Sdn Bhd, Fadzil Akhma Mohd Yusoff yang diberi tanggungjawab mengendalikan pusat peranginan itu berkata, kini kawasan Lubuk Timah lebih menarik dan pengunjung juga makin ramai.
Menurutnya, kemudahan seperti dewan, surau, tandas dan chalet dibangunkan termasuk beberapa kemudahan lain yang sedang dalam pembinaan.
“Kini Lubuk Timah semakin dikenali ramai malah menjadi salah satu tarikan utama pengunjung yang datang ke sini.
“Namun memandangkan beberapa kemudahan dinaikkan taraf, kami akan kenakan bayaran masuk RM5 untuk dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga memandang serius cadangan pengunjung berhubung jalan masuk sepanjang 800 meter dari jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands ke pusat rekreasi itu yang perlu dinaiktarafkan.
“Ini antara perkara yang menjadi perhatian kami sejak menguruskan tempat ini kerana jalan sedia ada adalah milikan persendirian dan kami tidak dapat berbuat apa-apa.
“Namun kita harapkan perhatian pihak Pejabat Daerah dan Tanah agar dapat memberikan alternatif ataupun cadangan agar memastikan jalan berturap dapat dibuat,” katanya.
Katanya, program pembangunan di kawasan itu akan dilaksanakan dalam lima peringkat melibatkan kos antara RM15 juta dan RM20 juta dan diusahakan atas inisiatif syarikat.
Salah seorang pengunjung, Nor Azmi Baharuddin, 40, berkata, inisiatif yang diambil pihak pengurusan dapat menghidupkan semula tempat perkelahan itu.
“Dulu Lubuk Timah tak begitu terkenal kerana tiada kemudahan seperti sekarang. Justeru, bila ada usaha untuk menaikkan taraf tempat ini, ia satu usaha yang baik.
“Sekurang-kurangnya, pengunjung rasa selesa sebab ada surau, tandas. Gazebo pun cantik, jadi anak-anak dan keluarga saya selesa bila berkelah di sini,” katanya.
Fashahida Mohd Khomari, 33, dari Teluk Intan juga turut mengakui kawasan perkelahan itu semakin mendapat perhatian pengunjung.
Menurutnya, kawasan yang dulunya tanpa kemudahan asas kini berubah wajah hasil komitmen pihak pengurusan.
“Komitmen seperti ini harus dikekalkan dan dipertingkatkan untuk terus menarik pelancong datang ke negeri ini, setidak-tidaknya mereka yang mahu ke Cameron Highlands dari Simpang Pulai, boleh singgah dulu mandi-manda di sini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: