Friday, January 29, 2016

Tiada Hubungan Istimewa Aizat & Aisyah Aziz




Aizat Amdan
KUALA LUMPUR: Penyanyi Aizat berkata kelibatnya yang sering dilihat bersama penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz tidak bermakna mereka mempunyai hubungan intim seperti yang diperkatakan beberapa pihak.
Sebaliknya Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 27, berkata, mereka sekadar berkawan biasa lebih-lebih lagi dia pernah menghasilkan lagu buat penyanyi muda itu berjudul Pilihan Sejati.

"Eh... Jangan salah anggap. Kami berkawan sahaja. Benar kami keluar makan bersama tetapi hubungan yang dijalinkan itu tidak lebih daripada sebagai kawan.

"Biasalah, apabila selesai dengan urusan kerja di studio, saya dan rakan artis akan ke kedai makan," katanya kepada mStar Online.
Aizat ditemui pada majlis pelancaran Gegar Aizat 2016  di di restoran miliknya iaitu Kasi Gegar, Dagang Avenue, di sini pada Rabu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sungai Lui  itu mengulas mengenai dakwaan dia dan Aisyah sedang hangat bercinta gara-gara kekerapan orang ramai melihat mereka keluar bersama.
Aisyah Aziz
Tambah Aizat, buat masa ini, dia masih lagi belum mempunyai kekasih hati namun memberitahu wanita yang mempunyai minat yang sama dengannya, sependapat dan beriman adalah ciri-ciri wanita idaman.
Sementara itu, mengenai projek Gegar Aizat 2016, Aizat tampil dengan sedikit pembaharuan dalam kariernya di mana dia akan menghasilkan sebuah lagu setiap bulan yang akan dibuat sehingga akhir tahun ini.

Kata Aizat, ia adalah salah satu strategi untuk dia menarik perhatian ramai mengenai kewujudan lagu baharu yang dibawakan.

"Kiranya tahun ini saya akan hasilkan 12 single lagu dan akan menghimpunkannya kepada sebuah album.

"Diikuti dengan konsert bagi meraikan 10 tahun penglibatan saya dalam industri yang dijangka pada awal tahun 2017.

"Memandangkan saya sedikit sepi dalam publisiti media, tahun ini saya tampil dengan susunan jadual kerja yang padat diuruskan oleh syarikat saya, Kasi Gegar Entertainment (KGE).

Dalam pada itu, kata Aizat, lagu-lagu yang ditampilkan itu akan dilancarkan bersama klip video yang dimuat naik di saluran YouTube, OfficialAizatAmdan.

"Bukan itu sahaja, saya juga akan membuat rakaman video aktiviti harian saya dan jadikannya kepada sebuah blog khas buat peminat-peminat.

"Kiranya 2016 adalah tahun yang mencabar buat saya kerana jadual kerja saya sudah disusun setahun. Saya harap apa yang dirancang itu menjadi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: