Azlan menunjukkan kesan terbakar pada pakaiannya yang diletakkan di dalam almari di rumahnya di Kampung Losong Atap Zin
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri memberi tawaran sebuah rumah kepada keluarga yang dihantui api misteri di Kampung Losong Atap Zin, di sini, bagi membolehkan lapan beranak itu tinggal dalam keadaan yang selesa dan selamat.
Perbincangan yang dibuat di antara Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan mangsa yang juga penyewa rumah, Azlan Abu Bakar, 58, lebih kurang 30 minit itu membawa kepada penawaran rumah di Flat Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Chendering.
Menurut Pehimi, disebabkan keluarga itu tidak selesa tinggal di rumah sewa sekarang ekoran dihantui api misteri, pihaknya membuat tawaran berkenaan.
“Memandangkan ada lagi beberapa unit rumah di Flat Desa Keluarga YPK, Chendering yang masih kosong, saya menawarkan untuk keluarga mangsa berpindah ke sana.
“Bagaimanapun, keluarga ini diberi ruang terlebih dahulu untuk berfikir sama ada setuju tinggal di rumah baharu atau masih mahu tinggal di rumah ini (rumah sewa),” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga mangsa di Kampung Losong Atap Zin, di sini.
Dalam masa sama, Pehimi menyarankan keluarga berkenaan yang merupakan golongan berpendapatan rendah supaya mengemukakan permohonan kepada Tabung Darul Iman bagi meminta bantuan ekoran musibah api misteri yang berlaku kepada keluarga Azlan untuk dinilai jumlah kerugian yang ditanggung.
Sementara itu, Azlan yang ditemui berkata, dia gembira dengan penawaran kerajaan negeri itu, tetapi dia perlu mengambil masa untuk membuat keputusan kerana memikirkan tempat kerja yang jauh serta persekolahan anak-anak.
“Saya memang suka dapat tawaran rumah, tapi bila fikir semula, tempat tu (Chendering), jauh daripada tempat kerja saya, anak-anak sekolah pula kena tukar dan banyak perkara juga kena fikirkan dulu.
“Buat masa ini, saya kena banyak bersabar dan berdoa supaya tidak lagi diganggu api misteri yang membuatkan kami sekeluarga risau dan bimbang,” katanya.
Azlan yang bekerja sebagai pembantu jurujual sayur di Pasar Chabang Tiga berkata, dia kerap menelefon isteri, Nor Aini Kamaruddin, 35, di rumah kerana bimbang keselamatan mereka sekeluarga.
Ceritanya, terbaharu pada Ahad lepas, api misteri secara tiba-tiba keluar daripada mesin basuh ketika isteri sedang berbual di halaman rumah sekitar jam 10 pagi.
“Selepas terbau hangit dan melihat ke dalam rumah di bahagian dapur, saya terkejut melihat api mula muncul di dalam mesin basuh yang ketika itu dipenuhi kain basah tetapi ia berjaya dipadamkan,” kata Nor Aini.
Menurutnya, selain mesin basuh, langsir, pakaian, almari, dinding dan banyak lagi terdapat kesan terbakar di dalam rumah sewanya itu.
Manakala jiran mereka, Rafeah Sudin, 41 yang sebelum ini turut dihantui masalah sama telah pun berpindah dari rumah berkenaan.
Sebelum ini, akhbar sama melaporkan dua keluarga hidup dalam ketakutan dan terpaksa berpindah setelah rumah sewa didiami dihantui api misteri sejak tiga bulan lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: