Thursday, January 28, 2016

‘Ada sebab kami berpayung’



‘Ada sebab kami berpayung’
Payung berwarna warna menghiasi ruang legar Pasar Besar Siti Khadijah yang menjadi lokasi perniagaan sayur- sayuran di pasar itu yang bertindak sebagai bumbung kedua bagi mengelak barangan peniaga rosak. Gambar kecil: Siti Noraini
KOTA BHARU - Sebahagian besar peniaga sayur di Pasar Besar Siti Khadijah di sini terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan menggunakan payung bagi mengelak barangan dijual layu berikutan bahang panas yang didakwa berpunca daripada bumbung baru pasar berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian di itu semalam mendapati payung berwarna-warni itu masih menghiasi ruang legar pasar berkenaan, malah rata- rata peniaga memilih menggunakan alternatif itu demi ‘menyelamatkan’ barangan jualan masing- masing.
Seorang peniaga, Siti Noraini Mohd Yaman, 41, dia terpaksa menggunakan payung bagi mengelak bekalan sayur- sayuran dijual terutama dedaun kering dan rosak.
Menurutnya, sebelum ini bumbung pasar berkenaan berwarna putih sebelum diubah suai dan ditukarkan kepada kuning.
“Bumbung sedia ada dahulu tidak mendatangkan masalah, bagaimanapun kesulitan timbul apabila ia ditukar kepada kuning seolah-olah ia memerangkap bahang panas,” dakwanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Siti Noraini berkata, sudah dua minggu dia menggunakan payung untuk melindungi barangan jualannya dari terkena bahang panas yang boleh menjejaskan sayur- sayuran dijual.
“Sekurang- kurangnya payung ini membantu memberi perlindungan terhadap sayur- sayuran ini dan mengelak dari kekeringan sehingga gagal dijual,” katanya.
Siti Noraini berkata, setiap hari dia terpaksa memperuntukkan kira- kira RM400 sebagi modal untuk mendapatkan bekalan sayur- sayuran yang baru berikutan tidak ada pulangan terhadap modal yang dilaburkan sebelum itu.
Dalam pada itu, Siti Noraini yang menjalankan urus niaga di pasar berkenaan lebih 3 tahun lalu berkata, dia dan peniaga lain berharap proses mengubah warna bumbung pasar berkenaan yang sedang dijalankan sejak beberapa hari lalu akan siap secepat mungkin.
Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Mek Yam, 70, berkata, sayur- sayuran yang dijual terutama dedaun banyak mengalami kerosakan menyebabkan hasrat mencari sedikit keuntungan itu tidak kesampaian.
“Niat nak cari untung sikit- sikit, tapi bila jadi macam ni, sayur kecuk (layu) sebab panas, tidak ada lagi untung, malah rugi,” katanya yang sudah lebih 10 tahun berniaga di pasar berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: