Sunday, January 10, 2016

Terpaksa catu belanja harian



Terpaksa catu belanja harian
Tajul Rahim sedang membakar kuih tradisional Terengganu, kuih nganan di gerai tempatnya bekerja di Jalan Pasir Panjang
KUALA TERENGGANU - Keadaan ekonomi yang tidak menentu dengan kos sara hidup yang tinggi ditambah harga kebanyakan barangan yang dijual mahal memaksa ibu bapa mencari pekerjaan sampingan serta mencatu duit perbelanjaan harian bagi persekolahan anak-anak mereka.
Mohd Syukor Ali, 53, berkata, dengan keadaan ekonomi kini, beliau terpaksa berjimat dari segenap segi tambahan pula tiga orang anaknya masih bersekolah iaitu dua orang di sekolah rendah dan seorang di sekolah menengah.
“Kalau untuk belanja sekolah tu memang kita sediakan RM9 setiap hari iaitu RM5 untuk anak yang sekolah menengah dan RM2 untuk yang sekolah rendah. Kalau dulu RM1 dah cukup besar, sekarang kalau bawa RM1 ke sekolah memang tidak cukup untuk belanja mereka sampai petang.
“Kalau ada lebih, simpan untuk hari seterusnya. Begitulah rutin harian bagi perbelanjaan sekolah anak setiap hari,” katanya.
Mohd Syukor yang bekerja sebagai peniaga kedai makan berkata, kini seramai enam anak-anaknya masih lagi di bawah tanggungannya.
Tambahnya, sekiranya hari dia tidak berniaga seperti hari Jumaat dan Sabtu, lebihan hasil jualan di kedai makan itu akan dibawa pulang untuk dimasak pada hari cuti.
“Sekarang makan pun akan dicatu kerana pendapatan tidak menentu. Tambahan pula kami sebagai peniaga, pelanggan datang pun tidak menentu, ada masa ada pelanggan, ada masa nak dapat seorang pelanggan pun agak susah.
“Kalau diikutkan, baju baru untuk anak-anak pun mereka akan dapat sekali dalam setahun. Jadi, mereka tidak selalu dapat baju baru, kalau ada duit lebih baru beli,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hafizi Ibrahim, 36, berkata, sebelum ini dia membuat dua kerja iaitu mengambil upah bagi kontrak memotong rumput, kini dia hanya membuat satu pekerjaan setelah kontrak habis.
“Kalau diikutkan, memang sekarang dua-dua suami dan isteri perlu bekerja untuk menampung kehidupan sebuah keluarga. Kalau sebelum ini isteri saya bekerja di kedai makan, kini dia terpaksa berhenti kerja kerana hamil tujuh bulan.
“Sekarang saya seorang sahaja yang bekerja sebagai pembantu kedai, dengan dua anak yang bersekolah rendah dan seorang berusia empat tahun,” katanya.
Menurut Mohd Hafizi, disebabkan isterinya, Zaleha Yusof, 35, tidak bekerja, mereka sekeluarga lebih gemar makan di rumah dari membeli di kedai.
“Duit belanja untuk beli barangan dapur pun sekarang RM200 hingga RM300 pun belum tentu cukup untuk sebulan, lebih-lebih lagi kalau beli di pasar, ikan segar, ayam segar, daging segar, memang peniaga letak harga mahal,” katanya.
Mengulas mengenai perbelanjaan anak ke sekolah, Mohd Hafizi berkata, dia akan memberikan dua anaknya RM3 atau RM5 seorang sekiranya ada kelas Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) pada waktu petang.
“Kalau ada kelas Kafa, kita beri lebih sikit untuk belanja hingga ke petang. Jadi, pada setiap hari saya akan sedia RM6 hingga RM10 sekiranya mereka ada kelas Kafa.
“Sebagai alternatif lain memang bawa bekal ke sekolah boleh bantu kurangkan perbelanjaan, tetapi mungkin agak sibuk dan tidak sempat untuk sediakan sarapan pagi menyebabkan saya lebih senang memberikan anak duit belanja untuk beli makanan di kantin sekolah,” katanya.
Sementara itu, Tajul Rahim Abdul Hamid, 46, berkata, dia hanya tertumpu pada satu pekerjaan dan belum membuat pekerjaan lain bagi mendapatkan pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan dia sekeluarga.
“Sekarang anak saya seorang berada di sekolah rendah dan seorang di pra-sekolah, seorang lagi masih kecil berusia tiga tahun. Buat masa ini memang saya hanya tumpu pada satu pekerjaan sebagai pembantu kedai sahaja.
“Buat masa ini memang kita begitu berjimat cermat ketika berbelanja, untuk duit belanja dapur sahaja kita anggarkan sebanyak RM250 setiap bulan. Itu pun memang isteri akan memasak setiap hari di rumah dan ia membantu untuk lebih berjimat. Kalau hari-hari makan ikan segar, memang belanja akan lebih sikit.
“Untuk anak yang bersekolah rendah, kalau bawa bekal, dia hanya diberikan sebanyak RM2 sahaja untuk belanja persekolahan. Tetapi, kebanyakan isteri akan memasak bagi memastikan anak bawa bekal ke sekolah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: