Sunday, January 24, 2016

Dari peguam jadi penulis




Dari peguam jadi penulis: Siti Rosmizah

TERPANGGIL untuk berkongsi kisah masyarakat menjadi titik permulaan bagi Siti Rosmizah Semail berkecimpung dalam bidang penulisan novel.
Semuanya didorong dek pemerhatiannya ke atas masyarakat ditambah pula kerjayanya sebagai peguam, menjadi batu loncatan untuk novelis berusia 44 tahun itu.
Atas dasar itu, maka lahirlah novel sulungnya, Andai Itu Takdirnya terbitan Buku Prima pada 2008.
“Awalnya, ia umpama tidak relevan untuk saya menulis novel kerana saya bekerja sebagai peguam.
“Namun, kerana minat membaca novel dan kebetulan tugasan sebagai peguam membuatkan saya lebih ‘dekat’ dengan masyarakat.
“Bahkan, menerusi novel itu, saya tampilkan permasalahan yang dialami oleh wanita akibat di dera suami sehingga menyebabkan kematian.
“Saya sengaja membawa cerita seperti itu demi membuka mata masyarakat di luar sana,” katanya kepada Zass.
Meskipun baharu pertama kali menulis, percubaan Siti Rosmizah ternyata tidak mengecewakan.
“Saya bukanlah seorang penulis profesional. Malah saya juga tidak pandai menulis.
“Mungkin kerana buku saya itu mengetengahkan jalan cerita yang berbeza menyebabkan ia diterima ramai,” katanya.
Bertitik tolak daripada situ, Siti Rosmizah meneruskan kerjayanya sebagai seorang novelis, lebih-lebih lagi apabila mendapat sokongan padu daripada peminatnya.
“Kerana ada permintaan daripada peminat, saya menghasilkan novel kedua, Cinta Kau dan Aku, juga diterbitkan oleh Buku Prima, setahun kemudian,” katanya.
Lebih membanggakan, novel keduanya itu menjadi pilihan penerbit televisyen (TV) untuk diadaptasi ke drama dengan mengekalkan judul yang sama.
Drama adaptasi 13 episod itu dijayakan oleh barisan pelakon terkenal seperti Sara Ali, Fizz Fairuz, Mardiana Alwi, Dynas Mokhtar, Syawal AF dan Mustafa Kamal menerusi saluran RTM (TV1) pada 2013.
“Saya menganggap proses (adaptasi novel ke drama) itu sebagai satu fenomena bahkan ia juga membawa impak tersendiri sama ada secara negatif atau positif.
“Sebenarnya, adalah sukar untuk mengangkat sesebuah novel ke kaca TV apatah lagi dalam keadaan yang sangat terhad.
“Alhamdulillah, apa-apa pun, saya bersyukur kerana ada produksi yang berminat memilih novel saya untuk diadaptasi,” katanya.
Kini, demi meneruskan kelangsungan hidup sebagai novelis, Siti Rosmizah akhirnya nekad menubuhkan syarikat penerbitan sendiri, SR Publication.
Disiplin teras utama
Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini mengakui, sifat kerjayanya yang banyak bergaul dengan orang ramai, terutama semasa mengendalikan pelbagai kes, menjadi faktor penyumbang idea ketika menghasilkan novel.
“Sudah 15 tahun saya menjadi peguam manakala penglibatan dalam bidang penulisan pula bermula sejak lapan tahun lalu.
“Bahkan, sehingga ke hari ini, saya masih lagi bergelar peguam meskipun aktif sebagai penulis novel.
“Mungkin kerana pekerjaan saya terdedah kepada masyarakat menyebabkan hampir semua novel saya, jalan ceritanya lebih kepada kisah masyarakat setempat.
“Pada masa sama, saya masih ‘setia’ dengan tema cinta. Bezanya, rasa cinta itu disingkap dengan lebih meluas lagi,” katanya.
Jelas Siti Rosmizah, terlibat dalam dua bidang yang berbeza menuntutnya supaya lebih berdisiplin agar semua berjalan lancar
“Faktor utamanya adalah disiplin. Apabila ada urusan kerja guaman yang memerlukan saya ke mahkamah, maka saya akan selesaikannya.
“Biasanya, saya akan meluangkan masa di waktu malam untuk kerja-kerja penulisan.
“Tetapi, sebenarnya, apa sahaja ruang masa yang ada itu, saya perlu sentiasa komited dalam memberi komitmen sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, sebagai ‘senior’ dalam bidang penulisan, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini turut mengalu-alukan kehadiran barisan penulis baru.
“Kedatangan barisan penulis baru ke dalam bidang ini adalah amat penting.
“Lebih-lebih lagi, apabila kita juga memerlukan idea yang lebih ‘segar’ dan baharu. Inilah masanya untuk kita mengetengahkan bakat penulis ini.
“Kadang-kadang, kita yang ‘otai’ ini bukan tidak bagus, bagus sebenarnya. Cuma kadang-kadang idea kita sedikit ketinggalan berbanding penulis remaja yang lebih mengikut trend terkini,” katanya.
Jelasnya, bidang penulisan memerlukan pelapis dari semasa ke semasa demi memeriahkan lagi bidang ini, pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: