Wednesday, January 27, 2016

Bina Paint kukuh pasaran tempatan



Bina Paint kukuh pasaran tempatan
Rosli menunjukkan produk keluaran syarikatnya.
SEBAIK menjejak langkah memasuki perkarangan kilang cat milik Bina Paint Industries Sdn Bhd yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, seakan tidak percaya ia adalah sebuah kilang cat.
Apa tidaknya, tiada langsung bau cat yang dihidu seperti yang dibayangkan penulis sebelum sampai ke lokasi tugasan.
Yang kelihatan beberapa mesin cat besar yang sedang beroperasi menghasilkan cat-cat keluaran syarikatnya.
Persekitaran kilang yang juga gudang simpanan cat itu bersih walaupun dipenuhi dengan ribuan tin-tin cat yang menunggu masa untuk diedarkan kepada kedai perkakasan mahupun pembeli.
Kilang ini menghasilkan cat yang tidak mempunyai bau yang kuat dan mendapat pengiktirafan daripada Sirim sebagai produk hijau dan Karbon Foot Print pada 2016 bagi produk kalis airnya.
Bina Paint adalah pengeluar cat milik Bumiputera yang diasaskan oleh Pengerusi dan juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rosli Adam.
Rosli mempunyai pengalaman selama 15 tahun di dalam kontraktor yang pakar di dalam bidang kalis air, gelanggang sukan dan tangki air.
Menurutnya, ketika berhadapan dengan era kegawatan ekonomi pada 1997, dia sangat terkesan dengan keadaan ekonomi ketika itu kerana banyak menggunakan bahan-bahan import kalis air dan cat dari negara luar.
Bermula daripada itu, Rosli mendapat idea untuk membuka kilang sendiri dengan menghasilkan produk-produk yang diimportnya di dalam negara.
Pada masa sama, dia melihat potensi yang lebih besar sekiranya produk kalis air dapat dihasilkan di negara sendiri, sekali gus menjimatkan kos.
Dengan bermodalkan RM150,000, Rosli membuka kilang pertamanya di Bandar Baru Bangi pada 2000 yang mengeluarkan produk kalis air.
Produknya itu dilihat mendapat sambutan yang baik dan mendapat banyak projek daripada syarikat tempatan dan agensi kerajaan.
Melihat peluang lebih besar jika mengeluarkan cat sendiri, Rosli meluaskan segmen pengeluarannya dengan menghasilkan cat.
Selepas melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama hampir tiga tahun, akhirnya pada 2009, Rosli dapat menghasilkan cat hiasan keluarannya sendiri.
“Kami melakukan kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mendapatkan khidmat nasihat di dalam menghasilkan cat kalis air yang berkualiti.
“Sehingga benar-benar mencapai standard barulah kami yakin untuk mengeluarkan cat itu,” katanya.
Sehingga tahun ini, Bina Paint telah berkecimpung selama tujuh tahun di dalam bidang ini sekali gus berada di pasaran tempatan.
Bina Paint mempunyai tiga kilang cat yang terletak di kawasan berhampiran yang dibelinya pada 2005 dengan harga pasaran ketika itu sebanyak RM450,000 dan selang beberapa tahun, syarikat itu turut membeli sebuah lagi kilang pada 2009 dengan bernilai RM650,000.
Pada 2013, bagi menampung kapasiti yang semakin bertambah, Bina Paint telah membeli satu lagi kilang baharu dengan bernilai RM5.65 juta.
“Kami jangka kilang baharu itu akan beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini.
“Manakala, dua kilang lama akan dijadikan sebagai pusat jualan dan gudang penyimpanan cat,” katanya.
Tembusi 240 kedai perkakasan
Rosli berkata, tujuh tahun dalam industri ini adalah tempoh untuk syarikatnya mengukuhkan jenama di pasaran tempatan.
“Tidak ramai lagi yang tahu tentang cat Bina Paint, kami harap untuk menjalankan aktiviti promosi secara besar-besaran bagi memberikan pendedahan jenama kepada orang ramai.
“Kami harap dalam tempoh 10 tahun Bina Paint telah dikenali setanding dengan jenama antarabangsa yang lain,” katanya.
Tahun ini, Bina Paint akan meneruskan aktiviti promosi dengan membeli papan iklan.
Katanya, selama dua tahun, Bina paint turut membelanjakan sehingga RM75,000 bagi tujuh papan iklan selama dua tahun di kawasan tertentu.
“Ia sememangnya iklan yang berkesan kepada pengukuhan jenama kami,” katanya.
Setakat ini, jualan dan sambutan cat Bina Paint agak menggalakkan dengan menembusi 240 kedai perkakasan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Kami jangka untuk memasuki 300 kedai perkakasan menjelang akhir tahun ini dan 500 lagi menjelang 2018,” katanya.
Setiap tahun, Bina Paint menjangkakan peningkatan sebanyak 20 peratus menerusi penjualan produk kalis air dan cat serta projek-projek yang diperolehi di seluruh negara.
Walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi yang mencabar, Rosli berkata, pihaknya yakin untuk mencapai sasaran jualan RM10 juta tahun ini didorong oleh penambahan kapasiti pengeluaran yang meningkat dan aktiviti eksport yang bermula tahun ini.
Pada 2014, Bina Paint mencatat jualan sebanyak RM4 juta dan RM5.6 juta pada tahun lalu.
Bakal tembusi pasaran luar negara
Apabila kilang baharu itu beroperasi sepenuhnya, ia dijangka mampu menghasilkan sehingga 30,000 liter cat sehari berbanding 5,000 liter sehari bagi kilang sedia ada.
Pengeluaran yang banyak akan membantu mengurangkan kos sekali gus mengurangkan harga bagi kesemua produk keluarannya.
“Kami harap dapat mengurangkan harga produk kepada harga yang jauh lebih berdaya saing,” katanya.
Bermula tahun ini, Rosli akan mengaktifkan aktiviti pemasaran dengan menembusi pasaran luar negara didahului dengan Indonesia.
Sebelum ini, Bina Paint pernah mengeksport produk ke luar negara tetapi di dalam kuantiti yang sedikit di Indonesia dan Sri Lanka.
“Kami jangka untuk memasuki pasaran Indonesia bermula Jun ini. Setakat ini, kami sedang dalam proses perbincangan dengan negara berkenaan.
“Selain itu, kami juga berhasrat memasuki pasaran Myanmar dan Timur Tengah,” katanya.
Mengulas berhubung perkembangan syarikatnya, Rosli berkata, Bina Paint kini ke arah syarikat patuh syariah dan dijangka akan di aplikasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini.
“Kami kini sudah menggunakan amalan patuh syariah sebanyak 100 peratus dan hanya menunggu pengiktirafannya secara rasmi iaitu ISO 9001:2014.
"Dengan adanya pengiktirafan patuh syariah ini akan memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada pelanggan dan mengikut perkembangan negara yang sedang melaksanakan indeks syariah” katanya.
Bina Paint adalah pengeluar cat bagi cat kalis air, cat gelanggang sukan, cat hiasan dan cat perlindungan setanding jenama cat antarabangsa tetapi dengan harga 10 peratus lebih murah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: