MENGANGKAT tema Satu Undian, Seribu Senyuman kelainan dibawa dalam penganjuran Anugerah Meletop Era (AME) 2016 untuk penganjuran kali ketiganya.
Ketua Format Dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris berkata, tema ini membuktikan AME bukan sekadar mengiktiraf selebriti tempatan malah prihatin membantu masyarakat.
“Tahun ini, selain iktiraf selebriti yang layak, kami turut galak anak seni melakukan aktiviti tanggungjawab sosial untuk kembalikan senyuman kepada masyarakat.
“Kami juga mewujudkan program Meter Positif AME yang mana bakal menyaksikan penglibatan secara langsung calon top 5 menjalani kerja amal sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang mengundi,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut mengenai program tersebut, Namanzee menjelaskan kerja sosial yang akan dilaksanakan calon top 5 bergantung kepada undian peminat.
“Bagi undian yang mencapai 25 peratus ke atas, calon akan kunjungi pesakit kanak-kanak di wad pediatrik dan turut kunjungi Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia jika keseluruhan undian capai 50 peratus.
“Seterusnya apabila undian mencapai 70 peratus, mereka ke Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (Clapam). Satu kejutan bakal diaktifkan selebriti jika undian keseluruhan bagi 16 kategori mencapai 100 peratus
“Kami percaya dengan adanya program seperti ini akan menambahkan keterujaan penganjuran AME kali ini.
“Bagi kami, membuat orang lain tersenyum adalah hadiah paling berharga dan kami harap agar inisiatif ini dapat membuka mata masyarakat untuk terus bersatu,” katanya.
Empat hos meriahkan majlis
Sementara itu, pada majlis sama turut mengumumkan empat hos yang bakal memeriahkan program berprestij itu dan antara selebriti terlibat Nabil Ahmad, Neelofa, Datuk Ac Mizal dan Jihan Muse.
"Tahun ini AME masih menampilkan pasangan hos yang cukup sinonim dengan program Meletop iaitu Nabil Ahmad dan Neelofa.
"Pada masa sama juga, mereka akan ditemani Datuk AC Mizal dan Jihan Muse bagi memeriahkan lagi malam anugerah itu nanti.
Senarai lima calon akhir untuk 16 kategori juga telah disenarai pendek berdasarkan undian orang ramai sewaktu pusingan fasa pertama yang dibuka sejak 17 Disember hingga 15 Januari lalu.
Pemenang bagi setiap kategori bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5000 berserta sebuah trofi sumbangan Astro.
AME 2016 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur pada 28 Februari ini dan boleh ditonton secara langsung menerusi saluran Astro Ria dab Ria HD.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: