BEBERAPA tahun lalu, nama Zul Yahya sememangnya dikenali sebagai antara pelakon komedi tanah air.
Bagaimanapun kedatangan pelakon dan pelawak baharu di dalam bidang seni, sedikit sebanyak mula menenggelamkan nama Zul.
Namun kini, Zul kembali muncul di dalam industri seni bersama buah tangan pertamanya selaku sutradara filem menerusi Usin UFO.
Menafikan beralih angin ke bidang pengarahan kerana kekurangan tawaran lakonan, Zul berkata, keputusan untuk mengarah dibuat kerana keinginannya untuk melangkah setapak ke hadapan di dalam karier yang diceburinya ini.
"25 tahun dahulu, saya memang tak kisah untuk jadi pelakon. Tapi saya terfikir sampai bila saya mahu berlakon.
"Sebab itulah saya beranikan diri untuk menulis filem dan seterusnya mengarahkan naskhah yang diberi judul Usin UFO ini.
"Keputusan ini dibuat untuk memberi kepelbagaian dalam karier seni saya. Saya tak mahu selamanya dikenali sebagai pelakon," katanya.
Bercerita lanjut mengenai pembikinan filem yang sudah menjalani penggambaran bermula 1 Disember 2012, Zul berkata, Usin UFO diterajui Shuib Sepahtu dan turut dibintangi oleh pelakon-pelakon seperti Liza Abdullah, Yasin Senario, Cat Farish, Aishah Ilias, Kaza dan ramai lagi.
"Tidak dinafikan filem ini sudah lama menjalani proses penggambaran iaitu pada 1 Disember 2012. Lokasi utama melibatkan beberapa kawasan di sekitar Pahang.
"Malah, sebelum memulakan penggambaran, saya turut mengambil masa selama beberapa bulan untuk memberikan fokus dan persediaan terhadap pra-produksi filem ini.
“Persediaan perlu kerana dalam filem ini, saya akan menggunakan teknologi CGI (imej janaan komputer) sebanyak 30 peratus terhadap bentuk muka dan badan Shuib sebagai Usin yang akan menjadi makhluk asing.
"Walaupun ini filem pertama dan filem percubaan saya, tapi saya tak mahu hasilnya seperti tangkap muat sahaja,” katanya yang pernah mengarahkan drama Lantai Papan dan BMW.
Ditebak mengenai kemungkinan filem ini akan dibandingkan filem Senario XX yang pernah ditayangkan pada 2005, Zul berkata, dia tidak bimbang kerana Usin UFO tampil dengan jalan cerita yang berbeza dan idea filemnya itu lain daripada lain.
"Filem saya ini boleh dianggap lain daripada filem yang pernah dihasilkan di Malaysia.
"Malah, jalan cerita dan komedi yang ditampilkan juga berbeza. Saya juga turut selitkan 30 peratus elemen CGI dalam filem ini. Saya berharap penonton akan menerima karya pertama saya ini dan terhibur dengan jalan cerita serta garapan yang saya buat," jelasnya.
Cabaran akhir
Ditanya punca kelewatan dalam menyiapkan filem sehingga memakan masa selama empat tahun, Zul berkata, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam soal itu.
Bagaimanapun cabaran dalam sentuhan akhir melibatkan CGI membuatkan filem yang menelan belanja RM1.6 juta ini mengambil masa untuk disiapkan.
"Bila kita libatkan elemen CGI, ia bukannya mudah kerana bila satu tersilap ia akan membuatkan banyak perkara silap dan terlibat sama.
"Malah kalau boleh, saya tak mahu hasil CGI di dalam filem ini nampak seperti cerita animasi.
"Sebab itu jugalah kami sedaya upaya lakukan yang terbaik untuk dapatkan hasil yang terbaik," jelasnya.
Bukan hanya sekadar menyiapkan CGI, Zul turut berkongsi cabarannya dalam menyiapkan filem Usin UFO.
"Usin UFO diterbitkan oleh syarikat penerbitan yang baharu di mana saya juga merupakan rakan kongsi untuk syarikat Cahaya DJ Pictures Sdn. Bhd.
"Oleh kerana baharu dan tidak ada pengalaman dalam pembikinan filem, jadi banyak perkara saya kena buat sendiri dan secara tidak langsung kerja jadi perlahan.
"Tapi saya lihat ia satu cabaran yang mematangkan saya. Secara tidak langsung saya dapat menimba pengalaman dalam proses pembikinan filem,” katanya.
Gabungan lama & baharu
Bercerita lanjut mengenai pembikinan filem ini, Zul berkata, Usin UFO turut menyaksikan gandingan pelakon lama dan baharu.
"Secara keseluruhannya saya seronok bekerjasama dengan semua pelakon di dalam filem ini.
"Kami sentiasa bertukar-tukar idea dan saya juga mudah bekerja dengan mereka kerana mereka tahu apa yang saya mahukan.
"Dengan kehadiran pelakon-pelakon yang sememangnya mendapat tempat di hati penonton, secara tidak langsung saya lihat ia seperti satu tarikan kepada penonton," katanya.
Walaupun melibatkan banyak pelakon komedi, namun ujar Zul, kebanyakan babak menjadi lucu bukan sahaja kerana dialog tetapi keadaan semasa pada ketika itu.
"Saya tidak hanya mempertaruhkan dialog komedi sahaja, tapi ada ketikanya dengan suasana sahaja sudah cukup untuk membuatkan penonton ketawa," ujarnya.
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Zul berkata, dia masih lagi menerima tawaran berlakon, namun bersikap lebih selektif.
"Pada usia kini, saya tak mahu lagilah membawa watak komedi yang nampak saya bodoh. Kalau boleh nak elakkan watak sama.
"Jadi saya lebih selektif dan dalam masa yang sama, memberi tumpuan kepada pengarahan drama.
"Namun buat masa ini saya lebih kepada proses perancangan untuk mengarahkan drama baharu," jelasnya.
Diculik makhluk asing
Merupakan sebuah filem komedi yang menerapkan elemen sains fiksyen, Usin UFO mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Usin yang aktif dengan persatuan dan memiliki sebuah resort percutian yang diuruskan bersama-sama ibu dan adiknya, Husna.
Bagaimanapun, di kampungnya itu pula terdapat sekumpulan kutu rayau yang suka mengganggu iaitu Jojo bersama-sama dua orang rakannya.
Malah, mereka gemar menghabiskan masa melepak di gerai Makcik Limah serta mengganggu Suraya, anak kepada Limah dan Husna.
Bagaimanapun suatu hari, Usin telah diculik oleh makhluk asing untuk dijadikan sebagai bahan kajian mereka.
Tubuh Usin menjadi separa manusia dan separa makhluk asing setelah menjadi bahan kajian tersebut.
Apabila makhluk asing melepaskannya dari UFO, Usin mula berperangai aneh dan menimbulkan kekecohan di kampung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: