Sunday, January 24, 2016

Mesej Tersirat, Monolog Pekin Dalam 'Mat Moto'




Mat Moto sedang ditayangkan di pawagam sejak 14 Januari lalu.
FILEM: Mat Moto
PENGARAH: Pekin Ibrahim & Syafiq Yusof
PELAKON: Pekin Ibrahim, Syamsul Yusof, Faizal Hussein, Datuk Rosyam Nor, Falisha Crossley, Shaheizy Sam,  Cat Farish, Zul Huzaimy dan Kamarol Yusof.
GENRE: Drama
DURASI: 90 Minit
PENGEDAR: Skop Productions Sdn Bhd
TARIKH TAYANGAN: 14 Januari 2016
KONTROVERSI menyelubungi di antara pelakon Pekin Ibrahim dan pengarah, Ahmad Idham berhubung filem berjudul Mat Moto yang dikatakan sepatutnya dihasilkan bersama menjadi perhatian ramai.
Bagaimanapun selepas kedua-dua belah pihak berbalas kenyataan mengenai perkara itu Idham mengambil keputusan meneruskan penerbitan Mat Moto tanpa melibatkan Pekin manakala aktor itu juga tampil dengan konsep dan judul sama di bawah terbitan Viper Studios & Skop Productions.
Pekin bagaimanapun tidak bimbang penonton akan keliru dengan judul naskah berkenaan yang sama dan masih dengan pendiriannya bahawa konsep asal dan idea filem itu adalah miliknya bersama rakannya, Allahyarham Azwan Anuar.
Meskipun terpalit dengan pelbagai kontroversi namun usaha dan kesabaran Pekin akhirnya terbayar apabila filem berkenaan berjaya mencipta rekod apabila mengutip RM1 juta pada hari pertama tayangannya pada 14 Januari lalu dan sehingga artikel ini ditulis ia telah mengumpul RM4 juta secara keseluruhan.
Shaheizy Sam dalam salah satu babak Mat Moto.
Berpeluang menonton filem Mat Moto pada tayangan perdananya baru-baru ini, Pekin membuktikan dia bukan sahaja seorang pelakon malah seorang pengarah dan penulis skrip berbakat besar.
Karya pertamanya itu yang berkonsepkan 'road movie' itu dihasilkan dengan kemas dengan bantuan pengarah bersama Syafiq Yusof.
Permulaan cerita yang kuat juga memberi tambah nilai kepada Mat Moto dalam menarik perhatian penonton untuk terus kekal menyaksikan filem berkenaan.
Pekin banyak bermain dengan penceritaan monolog dalam filem berkenaan namun masih menitikberatkan aspek komersial agar ia tidak terlalu berat untuk penonton.
Tindakan itu bijak kerana tema yang diangkat barangkali terlalu biasa dikalangan masyarakat dan ini peluang terbaik Pekin untuk menzahirkannya dalam bentuk berbeza dan menghiburkan.
Salah satu babak filem berkenaan.
Kerjasama di antara Pekin dan Syafiq juga jelas dilihat di atas landasan sama kerana biarpun diterajui oleh dua pengarah namun hasilnya masih sebagai 'satu'.
Seperti mana naskah lain, Mat Moto juga tidak terlepas daripada kekurangan dan menerusi naskah ini, Pekin terlalu ingin menekankan tentang perbezaan mat moto dan mat rempit.
Pekin terlalu defensif dalam mempertahankan golongan mat moto dengan menunjukkan perbezaan antara mat motor dan mat rempit dalam jalan ceritanya sehingga mengabaikan aspek warna kepada penceritaan.
Pun begitu, dari sudut positifnya Mat Moto berjaya menyampaikan mesej dalam menangkis tanggapan negatif masyarakat terhadap 'mat motor' dengan mengetengahkan realiti kehidupan pengguna motosikal yang sebenar.
Mat Moto boleh menjadi sebuah filem yang lebih baik sekiranya Pekin membuka imaginasi dengan lebih luas dalam penceritaannya agar ia lebih menarik dan dramatik.
Rosyam Nor antara pelakon hebat dalam filem Mat Moto.
Sayang, kisah helmet dan penggembaraan ke beberapa negeri yang cuba diketengahkan tidak disulam dengan peristiwa menarik.
Ia pasti menarik perhatian penonton sekiranya watak Al lakonan Pekin sendiri dan Shika ( Falisha Crossley) diwarnakan dengan kejadian menarik atau pun tragedi mendebarkan.
Mat Moto mengisahkan Al, pemilik syarikat suntingan filem menjelajah empat negeri bagi menunaikan hajat sahabatnya, Spark yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya.
Al mencari empat topi keledar yang menjadi buruan penggemar motosikal. Turut serta dalam misi itu adalah pelajar praktikal, Sikha.
Dua insan itu jatuh cinta, namun Sikha menyembunyikan rahsia yang boleh menggugat hubungan mereka.
Sementara itu, Pekin bertuah kerana filemnya itu dibarisi oleh pelakon berpengalaman seperti Syamsul Yusof, Faizal Hussein, Datuk Rosyam Nor dan Shaheizy Sam yang cemerlang dalam menzahirkan peranan masing-masing.
Kehadiran kesemua pelakon berkaliber itu turut memberi aura kepada Mat Moto malah Pekin sendiri memberikan lakonan cukup mantap dan bersahaja biarpun turut duduk di kerusi pengarah.
Disebalik kekurangan warna pada Mat Moto, ia sebenarnya masih sebuah naskah yang baik dan menghiburkan. Jadi tidak hairan ia mendapat sambutan luar biasa daripada peminat filem tempatan.

Ia bukan sekadar sebuah filem mengenai permotoran tetapi banyak mesej tersirat diselitkan buat penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: