Thursday, January 28, 2016

Usia bukan penghalang Yuzai Dania serius jadi penyanyi



Usia bukan penghalang Yuzai Dania serius jadi penyanyi
Yuzai Dania
HANYA bermula dari bakat terpendam dan suka-suka, kini anak jati Kuantan, Pahang ini mulai serius dalam bidang nyanyiannya.
Memiliki latar belakang sebagai antara ‘orang kuat’ dalam pembikinan filem, Yuzaidania Abdullah Shukor atau Yuzai Dania tidak pernah menyangka peluang mengembangkan bakat nyanyian datang menyapa sekali gus mengembangkan lagi cabang bidang seni yang diceburinya.
Walaupun karier sebagai penerbit penyelaras sudah kukuh buat dirinya bertapak dalam industri, itu bukan alasan buat wanita berusia 35 tahun ini menolak untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam hidupnya.
“Minat dalam bidang nyanyian ini sebenarnya sudah ada dalam diri saya sudah lama cuma saya anggap ia sebagai hobi memandangkan saya sudah jatuh cinta dengan kerja-kerja di belakang tabir.
“Tambahan pula saya seorang yang sukakan sesuatu yang mencabar membuatkan saya lebih mengutamakan karier ini berbanding nyanyian.
“Tapi tidak sangka pula peluang datang secara tidak sengaja dan akhirnya hobi suka-suka bertukar lebih serius,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menceritakan detik permulaan karier nyanyian, Yuzai memberitahu peluang datang ketika dia juga terlibat dalam pembikinan filem Gamatisme terbitan Pencil Pictures pada dua tahun lalu.
“Ketika itu saya menjalankan tugas seperti biasa dan diminta untuk memeriksa isi kandungan lirik ‘soundtrack’ filem berjudul Naluri.
“Pada masa yang sama majikan juga mengetahui minat saya dalam nyanyian dan dari situlah mereka memberi ruang kepada saya untuk menyumbangkan suara dalam runut bunyi filem tersebut.
“Sejak itulah karier nyanyian saya mula dengan lebih serius apabila dalam masa beberapa bulan saya tampil dengan single pertama Pergi Pergi Cinta, di mana melodi dan liriknya adalah ciptaan saya sendiri,” jelasnya.
Identiti tersendiri
Belum rasa terlambat untuk mengetengahkan bakatnya, Yuzai percaya kelainan dari segi nyanyian dan mesej yang disampaikan dalam liriknya mampu menjadikan dia seorang penyanyi yang memiliki identiti yang tersendiri.
“Mungkin ramai yang akan berkata dengan usia sekarang, sudah terlalu lambat untuk saya memulakan karier ini.
“Tapi saya tidak anggapnya seperti itu kerana saya bersetuju untuk lebih serius kerana mahu menambah cabang bidang seni.
“Tapi bagaimanapun, selepas ini saya mahu karier yang saya ceburi berjalan seimbang dan tidak dinafikan membahagikan masa adalah cabaran terbesar untuk saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Yuzai bakal tampil dengan single ketiga berjudul Aku Hanya Pembantu ciptaan komposer dari seberang Indonesia, Denis Chairis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: