
Senyuman manis dan ikhlas tidak pernah lekang dari bibir Norizan Asma dan adik beradiknya setiap kali melayang pelanggan yang singgah ke kedai makan mereka.
KUALA KRAI - Kepelbagaian pilihan kuih muih, termasuk kuih tradisional menjadikan kedai milik Norizan Asma Deraman, 34, dan adik beradiknya sentiasa menjadi tumpuan dalam kalangan masyarakat setempat.
Dengan lebih daripada 10 jenis kuih diniagakan, pelanggan akan berasa lebih mudah kerana mereka tidak perlu lagi ke tempat lain untuk menikmati kuih pilihan mereka.
Norizan Asma ketika ditemui berkata, sesetengah kuih muih yang dijual di kedainya merupakan hasil air tangan dia dan adik beradiknya sendiri, manakala selebihnya dibuat oleh penduduk untuk ditinggalkan serta dijual di kedainya.
"Bukan hanya kuih-muih seperti ole-ole dan butir nangka, malah kedai kami turut menjual pelbagai jenis hidangan nasi termasuk nasi ayam dan nasi lemak.
"Bagi kuih muih, kami tawarkan harga berpatutan, iaitu hanya RM2 sebungkus. Alhamdulillah, walaupun menghadapi krisis ekonomi ketika ini, sambutan pelanggan tidak berkurangan dan jualan kami sentiasa habis," katanya.
Norizan Asma memberitahu, seperti peniaga lain, dia juga mempunyai pelanggan tetap dan sesetengahnya terdiri daripada jururawat dan penjawat awam.
Menurutnya, kemajuan perniagaan berkenaan membolehkan dia dan adik beradiknya membuka sebuah lagi kedai, hanya beberapa meter dari kedai sedia ada di Guchil Tiga, Kuala Krai, tanpa perlu membuat apa-apa pinjaman.
"Syukur kerana pada musim cuti sekolah, jualan di kedai kami meningkat dan boleh dikatakan, kebanyakan pelanggan yang pernah singgah di kedai ini setiap kali melalui jalan Kuala Krai ke Gua Musang akan datang kembali.
"Kebiasaannya pada jam 10 pagi, kami mula berniaga sehingga habis barangan jualan, selalunya menjelang waktu Maghrib," katanya.
Selain itu, sikap ramah dan mesra Norizan Asma dan adik beradiknya kepada pelanggan mereka turut menjadi faktor premis perniagaan mereka sentiasa menarik kunjungan pelanggan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: