Monday, January 25, 2016

Banteras aktiviti minta sedekah



Banteras aktiviti minta sedekah
Azizah (berdiri kiri) memerhatikan kakitangannya mengambil maklumat daripada pengutip derma yang ditahan di pasar tani Bachok.
BACHOK – Jika kita lawati beberapa lokasi pasar malam atau pasar tani di Kelantan akhir-akhir ini ramai pemungut derma berkeliaran raih simpati agar orang ramai menghulurkan sumbangan.
Terang-terangan mereka yang mengelek balang atau tong derma ini bukan warganegara, justeru bagaimana mahu dipastikan mereka benar-benar wakil sah bagi rumah anak yatim atau pembinaan masjid yang didakwa?
Itu belum melibatkan sindiket orang kurang upaya (OKU) yang sering berkeliaran di kaki lima premis dan tempat tumpuan umum. Jika perkara ini disebarkan ke media sosial, maka berbondong-bondonglah ‘keyboard warrior’ menyelar tindakan menangkap pemungut derma atau pengemis ini dengan alasan biarlah ALLAH SWT sahaja yang mengadili niat untuk bersedekah kepada golongan seperti itu.
Namun, dalam tidak sedar jika dibiarkan, sindiket ini akan berleluasa mengambil kesempatan di atas kemurahan hati rakyat Malaysia untuk menjadikan ia suatu industri yang menguntungkan bagi mereka.
Justeru, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan sejak awal tahun lagi tekad mahu menggempur sindiket mengemis dan mengutip derma tersebut.
Dua kali ditahan dalam tempoh seminggu
Seorang pengutip derma berasal dari negara jiran dikatakan sudah dua kali ditahan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh seminggu selepas dikesan mengutip derma secara tidak sah dekat sini.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Cawangan Pemantauan JKM Kelantan, Wan Nor Hashim Wan Noh berkata, kelmarin lelaki itu sekali lagi ditahan di pasar tani Pantai Irama Bachok sedangkan minggu sebelumnya dia ditahan dalam operasi yang sama di Pasir Tumboh.
Katanya, lelaki itu membawa surat kutipan derma palsu yang tertera mendapat kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan mengubah beberapa butiran tertentu.
“Dia dah ditahan minggu lalu di Pasir Tumboh, tetapi kali ini sekali lagi kita jumpa dia di Pantai Irama bawa surat palsu daripada Maik dengan alasan untuk kutip derma bagi sebuah pusat anak yatim di Telong. Rumah anak yatim itu tidak berdaftar dengan JKM.
“Surat yang dibawa lelaki pengutip derma itu jelas palsu kerana hanya menggunakan kertas salinan pengimbas dengan huruf yang tidak sama pada setiap tulisan, nombor bilangan kebenaran Maik, gambar pengutip derma palsu yang dicetak sedangkan surat sebenar adalah gambar yang dilekatkan pada surat kebenaran itu. Semua yang ditahan menggunakan surat palsu yang diimbas dan diubahsuai sendiri oleh sindiket mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Ops Pengemis dan Kutu Rayau di pasar tani Bachok pagi kelmarin.
Difahamkan, rumah anak yatim itu sebelum ini sudah dilawati oleh pihak JKM dan dinasihatkan untuk melengkapkan dokumen berkaitan untuk membolehkan ia beroperasi sebagai pusat jagaan secara sah dan tidak lagi menjalankan kutipan derma sedemikian.
Wan Nor Hashim berkata, masalah pengemis dan pemungut derma ini akan berulang walaupun selepas dihantar pulang ke negara asal kerana mereka berpeluang datang ke sini kembali melalui puluhan laluan tikus di sempadan Sungai Golok.
Baru datang dari Narathiwat
Selain untuk rumah anak yatim di Telong, ada juga yang membawa surat kutipan derma untuk pembinaan masjid di Kampung Tok Junoh, Melor.
Seorang pengutip derma yang ditemui adalah seorang remaja berusia 15 tahun yang datang dari Narathiwat sebulan lalu.
“Saya baru datang ke sini sebulan lalu. Saya tak tahu kutip duit macam ni salah. Saya kutip duit untuk pembinaan madrasah di Melor.
“Saya minta dengan cikgu untuk kutip duit setiap hari Sabtu. Kadang – kala saya kutip duit di pasar tani Wakaf Zain dan hari ini di sini. Ada kalanya saya dapat duit hingga RM100 dan ada juga kurang,” katanya dalam telor Thailand.
Operasi pertama tahun ini
Manakala, Pegawai JKM Bachok, Azizah Zakaria berkata, operasi bersepadu itu kali pertama untuk tahun ini yang melibatkan 20 anggota dari beberapa agensi lain termasuk polis, Majlis Daerah Bachok, JKM Bachok dan JKM negeri Kelantan.
Beliau berkata, operasi itu pertama bagi daerah Bachok itu bermula dari jam 8.30 pagi dengan taklimat untuk kakitangan terlibat dan turut disertai Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM Kelantan, Nazri Hussin.
“Kali ini kita dapat tahan lapan pengutip derma yang ada di pasar tani Pantai Irama. Seorang dibebaskan kerana mempunyai surat kebenaran yang sah.
“Semua yang ditahan ini akan dibawa ke balai polis sebelum diserahkan kepada pihak imigresen dan dihantar pulang ke negara asal,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan operasi berkala empat kali setahun untuk mengekang aktiviti tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: