Tiong Lam (tengah) bersama Sufiyah(kiri) bersama rombongan KKCK (berbaju biru) dan anak yatim bergambar bersama sumbangan yang diagihkan.
TUMPAT - Tanpa mengira perbezaan agama, Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina prihatin membantu anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim dan Dhuafa Pasir Pekan.
Pengerusinya, Pui Tiong Lam berkata, bantuan diagihkan sama rata untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan terutamanya keluarga miskin dan anak yatim tanpa mengira kaum dan agama.
Menurutnya, kali ini bantuan disalurkan kepada anak-anak yatim di rumah anak yatim tersebut dengan menyumbangkan alat tulis, makanan, tuala wanita dan limau mandarin.
“Sumbangan ini adalah pemberian daripada CNMC, syarikat Kao (M) Sdn Bhd dan daripada KKCK sendiri untuk menceriakan anak-anak yatim Islam di sini seramai 37 orang,” katanya.
KKCK ditubuhkan secara rasmi pada November lalu aktif membantu masyarakat yang daif di seluruh Kelantan apabila sering menziarahi dari rumah ke rumah agihkan bantuan setiap bulan kepada pesakit kronik.
Sementara itu, Penyelia Rumah Anak Yatim tersebut, Sufiyah Mubarak berkata, dia berterima kasih di atas keprihatinan KKCK menghulurkan bantuan kepada anak yatim perempuan di sini.
Menurutnya, ini bukan kali pertama menerima bantuan daripada bukan Islam dan ini satu pemberian yang bermakna buat anak-anak yatim di sini.
“Semoga sumbangan ini memberi manfaat kepada anak yatim di sini terutamanya alat tulis dan barang keperluan lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: