Ravi (lima, kiri) bersama Kapten Amran (enam, kiri), pramugari dan pramugari Rayani Air.
SYARIKAT penerbangan berkonsepkan patuh syariah, Rayani Air Sdn Bhd berhasrat mewujudkan hub di Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK 2016), selain memudahkan urusan laluan antarabangsa.
Pengarah Eksekutifnya, Ravi Alagendrran berkata, cadangan berkenaan dilakukan setelah pihaknya melihat sambutan memberangsangkan daripada pengguna.
“Rayani Air berhasrat mengadakan hub di Kelantan selewat-lewatnya April atau Mei nanti, namun ia perlulah mendapat kelulusan daripada Ahli Lembaga Pengarah, malah lebih banyak perbicangan akan dilakukan bagi pelaksanaannya.
“Hub ini bermaksud kapal terbang bermalam di Kelantan untuk memudahkan perancangan penambahan laluan dari Kota Bharu ke Ho Chi Min City, Bandung, India dan China serta ke Kota Kinabalu dan Kuching, jadi keperluan hub ini penting,” katanya kepada pemberita semasa Lawatan Mesra Media Kelantan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Komersial, Kulenthiran Balakrishnan, Pengurus Besar Operasi Penerbangan, Kapten Amran Sulaiman, Pengurus Besar Perhubungan dan Hal Ehwal Awam Rayani Air, Anisah Azharuddin dan Pengurus Stesen Kelantan Mohd Khalid Che Rani.
Ravi berkata, hub itu juga diperlukan bagi tujuan mengadakan laluan terus dari Kota Bharu ke Jeddah bagi penumpang yang akan menjalankan umrah dan haji di Mekah.
Kata belliau, berdasarkan cadangan penubuhan hub di negeri ini, pihaknya akan membuat penambahan kakitangan memandangkan kini hanya 22 kakitangan yang ada di Kelantan.
“Sejak memulakan penerbangan, sehingga kini, perkhidmatan yang mengutamakan konsep Islamik itu sudah mencatatkan seramai 50,000 pelanggan secara purata setiap bulan sejak 20 Disember lalu.
“Rayani Air menggunakan beberapa cara untuk menarik pelanggan, antaranya memberi pakej yang terbaik dari segi perkhidmatan, bagasi percuma untuk 20 kilogram, makanan dalam pesawat, kerusi roda, potongan 20 peratus kepada orang kurang upaya (OKU) dan bayi bawah dua tahun,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: