Friday, January 22, 2016

Populariti Bukan Tiket Ezad Lazim Menyerlah Dalam MLM 2016




Ezad Lazim bakal bertanding dalam program Maharaja Lawak Mega 2016.
PETALING JAYA: Penyanyi Ezad Lazim tidak melihat tempias populariti menerusi program Gegar Vaganza 2 akan memberi jalan mudah kepadanya untuk menyerlah di pentas Maharaja Lawak Mega 2016.
Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 37, sebaliknya berkata, dia perlu berusaha keras bagi memastikan kemunculannya dalam program tersebut bukan hanya bersandarkan kepada populariti tetapi kebolehannya membuat penonton ketawa.

"Tiada kelebihan langsung kerana jika lawak yang saya tampilkan hambar populariti itu tidak akan membantu saya.

"Apa yang paling penting sekarang adalah saya perlu berusaha dan merangka strategi bersama ahli kumpulan lain dalam menghasilkan persembahan berkualiti pada MLM 2016," katanya kepada mStar Online.
Ezad bergabung dengan dua pelawak lain iaitu Wan Azrul Azizan (Ajo) dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu) menerusi kumpulan Bos.

MLM 2016 bakal menemui penonton bermula 29 Januari ini setiap hari Jumaat, pukul 10 malam.

Ia bakal disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Dalam pada itu, Ezad berkata, dia mengambil keputusan untuk memasuki pertandingan berkenaan kerana minatnya terhadap bidang komedi.

Malah dedah Ezad, pada tahun lalu dia pernah mencuba nasib sebagai peserta menerusi kumpulan Token namun hanya bertahan sehingga peringkat 'hot seat'.

"Saya memang minat bidang komedi kerana dahulu ketika aktif berlakon pun memang saya banyak memegang watak komedi seperti dalam filem Mami Jarum.

"Tahun lalu saya ada mencuba masuk MLM namun gagal dan tahun ini saya cuba sekali lagi dan tidak sangka terpilih sebagai 15 peserta yang bakal bertanding," katanya.

Sementara itu, Ezad berkata, seperti mana kebanyakan peserta lain dia juga tidak terkecuali berasa gementar untuk berada di pentas MLM 2016 kerana bimbang lawak ditampilkan gagal menarik perhatian penonton.

Bagaimanapun kata Ezad, dia ingin mencabar kebolehan dirinya sebagai pelawak dan tidak hanya mahu terhad sebagai penyanyi.

"Ini adalah peluang saya untuk cabar diri sendiri dalam bidang komedi yang saya minati selama ini.

"Ia bukan mudah tetapi saya tetap akan cuba dan berharap dapat menarik perhatian penonton," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: