Saturday, January 30, 2016

The Boy sarat kejutan, debaran




The Boy

NASKHAH yang mengangkat anak patung sebagai subjek penceritaan bukanlah baharu bagi filem dari barat.
Bahkan filem-filem sebegini mempunyai golongan peminat tersendiri.
Dek kerana itu jugalah filem-filem seperti Annabelle, Child’s Play, mendapat kutipan yang cukup memberangsangkan ketika ditayangkan. Terbaharu, masih mengekalkan anak patung sebagai subjek penceritaan, filem The Boy arahan William Brent Bell sudah mula menghantui peminatnya sejak ditayangkan 21 Januari lalu.
Filem yang membariskan gandingan pelakon seperti Lauren Cohan, Rupert Evans dan Ben Robson menyaksikan kemunculan patung porselin seperti kanak-kanak lelaki.
Sekali imbas, patung yang diberi nama Brahm ini tidak jauh bezanya dengan Annabelle.
Memiliki pandangan mata yang sayu tetapi tajam, ada ketikanya, apabila fokus beralih kepada Brahm, ia sudah cukup menimbulkan rasa berdebar dan seram apabila melihat ke matanya.
Secara keseluruhan, The Boy tidak banyak bezanya dengan filem seram lain seperti Annabelle dan Child's Play.
Permulaan cerita yang santai dengan latar belakang kawasan rumah agam yang menyeramkan sudah cukup memberi suntikan elemen seram, debaran dan penuh tanda tanya.
Filem The Boy mengisahkan Greta dari Amerika Syarikat, yang menerima tawaran sebagai pengasuh di satu rumah agam di pinggir kampung di England.
Sebaik saja tiba, dia terkejut kanak-kanak yang perlu dijaga bukan kanak-kanak sebenar, sebaliknya patung bersaiz kanak-kanak yang diperbuat daripada porselin.
Greta yang degil melanggar beberapa senarai yang perlu dilakukan untuk menjaga patung itu dan bermulalah gangguan demi gangguan yang akhirnya membuatkan Greta menyesal.
Melihat pada trailer dan seterusnya filem ini di pawagam baru-baru ini, penulis pada mulanya membayangkan jalan cerita The Boy tidak adalah gabungan penceritaan antara Annabelle dan Child's Play.
Bagaimanapun jangkaan penulis meleset apabila tiada unsur pemujaan yang jelas terhadap patung Brahm.
Yang ada hanyalah perubahan tempat duduk dan cara patung itu memandang seolah-olah dia mempunyai roh di dalamnya.
Bahkan ada ketikanya penulis seolah-olah memikirkan dia adalah patung dalam filem Mannequin (1987) yang mempunyai kuasa untuk hidup dan kemudian kembali menjadi patung.
Pendek kata semenjak Greta mula bekerja di rumah itu, sama seperti dia, penonton juga akan dipenuhi dengan pelbagai tanda tanya mengenai siapakah Brahm sebenarnya.
Pengakhiran tak dijangka
Lakonan mantap Lauren Cohan sebagai Greta biarpun dilihat tidak banyak meninggalkan kesan, namun masih berjaya mengemudi jalan cerita ini dengan baik.
Apatah lagi ada ketikanya hanya dia terlihat sebagai subjek penceritaan.
Berbalik kepada jalan penceritaan, pengakhiran yang tak terjangka membuatkan ada beberapa penonton merasa kurang berpuas hati, ada yang terkejut dan tidak kurang juga ada yang boleh menjangka pengakhirannya.
Namun pada pandangan penulis, pengakhiran yang berbeza itu sekali gus meletakkan The Boy berlainan dengan filem seram sedia ada.
Bagaimanapun filem The Boy masih sebuah filem yang berbaloi ditonton bagi anda yang meminati filem seram mahupun yang meminati filem berasaskan patung mainan.
Justeru bagi anda yang ingin mengetahui apakah pengakhiran filem ini, jangan lupa untuk menyaksikan The Boy di pawagam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: