Saturday, January 30, 2016

Polisas sedia makanan percuma




Polisas sedia makanan percuma
Pelajar Jabatan Perdagangan mengambil makanan percuma yang disediakan Polisas.
KUANTAN - Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Semambu, di sini menyediakan makanan percuma kepada pelajarnya untuk meringankan beban mereka.
Pengarahnya, Norlida Abd Razak berkata,jabatan pengajian bertanggungjawab menyediakan sarapan pagi atau makan tengah hari di sudut khas yang disediakan.
Menurutnya, program makanan percuma untuk pelajar Polisas itu bermula sejak Disember tahun lalu dengan peruntukan RM500 sebulan diberikan kepada setiap jabatan.    
Katanya, terdapat jabatan menyediakan antara 100 hingga 300 bungkus sarapan pagi seperti nasi lemak dan mi goreng bersama minuman panas.
“Manakala sesetengah jabatan menyediakan kupon makan tengah hari bernilai RM7 untuk makan di kafeteria.
“Makanan percuma ini disediakan hanya sehari bagi setiap minggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.
Norlida berkata, usaha itu diharap dapat meringankan beban golongan pelajar yang berdepan masalah kewangan hingga menjejaskan pengajian mereka.
“Pensyarah dan pihak luar turut tampil menyumbang pelbagai jenis kuih,” katanya.
Beliau berkata, rata-rata pelajar ditemui mengakui makanan percuma itu dapat mengurangkan perbelanjaan ditanggung walaupun hanya disediakan sehari seminggu.
“Kita akan terus berusaha mencari dana khas bagi tujuan menyediakan makanan percuma secara berterusan setiap hari dengan kerjasama pihak tertentu,” katanya.
Menurutnya, Polisas tidak mahu masalah kewangan mengganggu tumpuan untuk belajar, justeru bantuan wang kebajikan turut diwujudkan.
Katanya, pada tahun lalu lebih RM30,000 diagihkan kepada pelajar yang mempunyai masalah kewangan selain mereka yang terbabit dengan kemalangan, kecurian dan bencana alam seperti banjir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: