Friday, January 22, 2016

Mesej dakwah The Muhibbain




The Muhibbain

SEJAJAR dengan maksud pencinta, The Muhibbain turut bercita-cita menjadikan lapangan seni sebagai landasan dalam menyampaikan mesej dakwah dan berkasih sayang.
Pada masa sama, kumpulan ini turut menjadikan tema itu sebagai kempen berdakwah demi mengajak semua masyarakat menjadi pencinta kepada cinta yang hakiki.
"Kita tertarik dengan konsep seorang pencinta yang akan sanggup melakukan apa sahaja untuk menggembirakan orang dicintai.
"Kita juga membayangkan jika seorang hamba ALLAH SWT dan umat Rasulullah mencintai ALLAH SWT dan kekasih-Nya dengan konsep yang sama, tentu saja orang itu akan melakukan apa sahaja untuk menerima cinta-Nya dan baginda Nabi Muhammad SAW. Di atas titik tolak itulah, The Muhibbain ditubuhkan," kata Erwan Taib yang bertindak selaku ketua kumpulan The Muhibbain kepada Zass.
Atas dasar itu, The Muhibbain yang turut dianggotai oleh Adib Nahar nekad mengembangkan bakat yang ada kepada bidang lain selain hanya terlibat dalam bidang muzik.
Tumpuan kumpulan duo itu kini beralih kepada bidang pengacaraan dan penerbitan televisyen (TV) namun, masih tidak melupakan bidang muzik.
Bahkan, demi merealisasikannya, The Muhibbain kini sedang menjalinkan kerjasama dengan syarikat produksi, AlHaki Productions bagi menerbitkan sebuah program TV berkonsepkan majalah, Untuk Cinta.
"Kita akan bertindak sebagai pengacara bergandingan dengan wartawan dan pembaca berita Astro Awani, Nisa Kasnoon.
"Program ini bertujuan meneroka kisah hidup masyarakat terutamanya bagaimana mereka menginterpretasikan rasa cinta mereka.
"Umum mengetahui, maksud cinta itu sendiri meluas dan meliputi pelbagai ruang dan bidang," kata Erwan.
Setakat ini, katanya, Untuk Cinta sudah menjalani proses penggambaran terutama program pengenalannya.
"Kita sudah pun merakamkan proses pengenalannya.
"Selepas ini, kita akan berusaha untuk mencari dana bagi menampung keperluan program itu," katanya.
Ketika ditanya bagaimana idea sedemikian timbul, kata Erwan, ia lebih kepada meluaskan lagi makna cinta dalam segenap bidang seiring  matlamat penubuhan The Muhibbain.
"Selain muzik, bidang pengacaraan dan penerbitan TV juga termasuk dalam skop hiburan.
"Jadi, jika kita sudah berjaya dengan muzik melalui nyanyian, tidak mustahil kita menggunakan medium TV pula.
"Apa yang penting, kita masih berpegang kepada niat dan mesej berdakwah itu sendiri. Jadi, bermula dengan niat, kita mengembangkannya pula ke TV," katanya.
Selain itu, The Muhibbain juga akan muncul sebagai pengacara dalam program terbaru, Hajat yang kini sudah memasuki musim kelima, pada Ramadan kelak.
Hasil single baharu
Meskipun aktif di kaca TV, The Muhibbain masih sibuk dengan karier nyanyiannya.
Sebelum ini, The Muhibbain sudah pun menghasilkan dua album iaitu #MengenalCinta dan #LoveCintaMahabbah.
Pun begitu, menyedari keadaan pasaran album yang agak perlahan, kata Erwan, The Muhibbain lebih berfokus untuk mengeluarkan single terlebih dahulu bagi tahun ini.
"Kalau diikutkan hati, kita memang mahu terus mengeluarkan album, tetapi apabila melihat akan faktor pasarannya, kita terpaksa berfikir berkali-kali. Tapi, apa yang penting, kita akan tetap meneruskan perjuangan The Muhibbain.
"Sebenarnya, kita sudah merancang untuk menghasilkan tiga single lagi yang akan dikeluarkan setiap tiga bulan sekali. Dan, jika ada rezeki malah sambutan terhadap album juga meningkat, maka kita tetap akan menghasilkan album pula.
"Namun, ingin sekali lagi saya tegaskan, kepentingan The Muhibbain adalah apabila setiap lagu-lagu yang dihasilkan membawa mesej yang tersendiri untuk disampaikan kepada masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, kumpulan duo ini bakal melancarkan dua single terbarunya, Pencinta dan Panggilan-Mu yang bakal diterbitkan dan diedarkan Inteam Records tidak lama lagi.
"Bagi lagu Pencinta, kita berkolaborasi dengan RafiKoncept manakala untuk Panggilan-Mu pula kita merakamkannya dengan keluarga Caravan Of Praise.
"Istimewanya, kedua-dua lagu ini adalah apabila ia sangat dekat dan 'rapat' dengan kita," katanya.
"Macam lagu Panggilan-Mu, kita mendapat ilham ketika mengerjakan Umrah. Lalu, kita mendapat idea untuk menulis lirik dan lagu bersama-sama Andy Flop Poppy.
"Oleh kerana kita juga sebahagian daripada keluarga Caravan Of Praise, jadi kita memutuskan untuk merakamkan lagu itu bersama-sama," katanya.
Bagi lagu Pencinta pula, kata Erwan ia membawa maksud cinta yang lebih meluas dan secara amnya ia bukanlah bersifat luaran semata-mata.
"Kita mahu masyarakat lari daripada pandangan stereotaip sekali gus mendidik diri sendiri agar tidak terperangkap.
"Oleh itu, kita mahu mengajak pendengar agar tidak cepat menghukum dan lebih memandang pada kaca mata cinta," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: