Friday, January 22, 2016

Debaran Hazama



Hazama
Hazama
PEMBUKAAN tahun 2016 sememangnya memberi tuah buat penyanyi Hazama membawa karier nyanyiannya ke peringkat yang lebih baik.
Tidak hanya menumpukan komitmen sebagai mentor dan pengkritik menerusi program realiti TV3, Mentor Milenia, Hazama turut ditawarkan untuk terlibat sama dalam sebuah konsert berskala besar 5 Divo selain bakal bersaing dengan penyanyi lain menerusi Anugerah Juara Lagu 2016 (AJL 2016) Ahad ini.
“Alhamdulillah, ini adalah permulaan yang baik untuk 2016 apabila banyak tawaran yang datang. Saya sangat bersyukur.
“Tapi pada masa yang sama, saya tidak nafikan ada sedikit rasa tertekan dan tidak cukup tidur untuk uruskan tugas-tugas ini memandangkan ia berlaku dalam masa yang terdekat dan semuanya adalah acara yang besar buat saya .
“Ini kali pertama saya diduga seperti ini dan anggap ia sebagai satu cabaran dalam menjalani karier ke peringkat yang lebih baik,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Konsert 5 Divo, kelmarin.
Menyedari tugasan yang perlu dipikul bukanlah calang-calang, plantun Sampai Mati ini enggan mensia-siakan peluang yang datang buat dirinya.
“Bukannya saya tamak, tapi peluang seperti ini tidak selalu datang. Saya tahu, bila ditawarkan peluang seperti ini, ia juga datang dengan cabaran.
“Saya harus hadapi cabaran ini dengan baik supaya kepercayaan yang diberikan kepada saya berbaloi.
“Jika saya tidak mampu, mungkin sedikit sebanyak akan menjejaskan karier, jadi saya sangat berharap mental saya terus kuat untuk hadapi cabaran ini,” jelasnya penuh yakin.
Menerusi Konsert 5 Divo yang bakal berlangsung pada 13 Februari depan, Hazama bakal berkongsi pentas dengan penyanyi hebat seperti Hafiz Suip, Afgan, Judika dan Taufiq Batisah.
Bercerita mengenai persiapannya terhadap AJL 2016, Hazama akui kali ini dia menumpukan vokalnya dalam menyampaikan lagu Sampai Mati.
“Kali ini saya banyak fokus pada vokal dan tidak dapat beri komitmen dari segi persembahan memandangkan jadual saya yang padat.
“Lagi pun lagu yang saya bawa lebih ke arah persembahan vokal dan kalau boleh saya orang yang mendengar beri tumpuan pada persembahan nyanyian saya.
“Pada AJL kali ini, saya ada matlamat bukan sekadar untuk membuat persembahan, tapi harapan saya untuk merebut gelaran vokal terbaik kerana bagi saya ia satu pengiktirafan buat seseorang penyanyi,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: