Pichi tersenyum ketika ditemui di khemahnya.
TATKALA memasuki Jalan Speedy Teluk Intan, mata menyorot beberapa khemah kecil di tepi jalan yang dikerumuni orang ramai dengan pelbagai ragam dan telatah.
Apabila didekati kelihatan seorang lelaki duduk di kerusi sambil tangannya laju menaip apa yang diberikan oleh orang ramai tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.
Bagi yang selalu mendapatkan perkhidmatan mereka, sudah pasti nama penulis surat rayuan atau lebih dikenali dengan petition writer sering menitir di bibir masing-masing.
Namun dalam sekelip mata semua pelanggan kelihatan kelam kabut meninggalkan khemah berkenaan, begitu juga si petition writer dengan lajunya menutup tempat berkenaan.
“Macam inilah kalau langit gelap, kemudian hujan lebat secara tiba-tiba, suka atau tak, kita terpaksa tutup kedai, kalau tak habis semua surat basah."
Itu luahan Pichi Lut, 64, ketika ditemui wartawan Sinar Harian baru-baru ini, bagi mengupas nasib penulis surat rayuan di Teluk Intan yang berhujan dan berpanas di tepi jalan demi mencari rezeki.
Menurut Pichi, hampir enam tahun dia menjadi penulis surat rayuan di Jalan Speedy berhadapan Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah, Bangunan Persekutuan, Mahkamah Syariah, serta Mahkamah Majistret di Hilir Perak.
“Selama saya bekerja di tepi jalan ini, tak ada satu pihak pun datang tawarkan kami lokasi atau kedai selesa untuk mencari rezeki.
“Hujan ke, panas ke, kami tetap di sini, kalau menyewa di kedai berhampiran takut orang tak datang kerana mereka dah tahu penulis surat rayuan ada di depan bangunan kerajaan,” katanya.
Katanya lagi, jika hujan tidak lebat dia akan menutup khemah berniaga sementara menunggu hujan berhenti sebelum menyambung semula menaip surat pelanggan.
“Kalau hujan lebat dari pagi ke petang saya tak dapat berniaga, hanya duduk di rumah saja, kalau teruskan juga tak guna kerana kertas akan basah terkena air.
“Kalau betul ada pihak prihatin, saya tak minta banyak, cukup sekadar dibina sebuah kiosk untuk setiap penulis surat rayuan yang ada di sini, supaya kami mencari rezeki dengan lebih selesa,” katanya.
Ditanya mengenai kadar bayaran yang dikenakannya kepada pelanggan, Pichi berkata, bagi surat rayuan dan surat biasa kebiasaannya berharga RM5 hingga RM6.
“Untuk surat pindah milik, pindah milik amanah, kebenaran menteri besar, bayaran yang dikenakan antara RM50 dan RM120,” katanya.
Payung khemah tercabut ditiup angin
Bagi Haris Md Nor, 50, dia sudah lali dengan masalah dihadapinya sejak menjadi petition writer di Jalan Speedy selama tujuh tahun.
“Setiap kali hujan saya terpaksa bersedia melihat payung khemah tercabut ditiup angin dan rosak, nak buat macam mana, terima sajalah esok pergi kedai beli yang baharu.
“Kalau tak beli baharu kita terpaksa berpanas, pelanggan pun tak nak datang kalau tak ada payung,” selorohnya.
Menurut Haris, sebelum ini dia pernah mendengar khabar angin bahawa mereka bakal menerima satu kedai khas di lokasi sekarang.
“Tapi sampai hari ini masih belum ada apa-apa perkembangan, kami masih lagi berhujan dan berpanas mencari rezeki di sini, sejak bertahun lalu lagi.
“Saya harap perkara ini dipandang serius oleh pemimpin tempatan khususnya, kalau mereka tak bantu kami siapa lagi,” katanya.
Mesin taip dicuri ketika solat
Pernah kehilangan sebuah mesin taip ketika menunaikan solat Zohor tidak melunturkan semangat Osman Sheikh Ismail, 66, untuk terus berniaga di Jalan Speedy.
Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku tahun lalu dan sehingga kini menjadi tanda tanya kepada dirinya bagaimana ia boleh dilarikan pencuri.
“Saya menjadi petition writer di Jalan Speedy sejak 1994, dan itu kali pertama mesin taip saya dicuri sejak sekian lama.
“Apabila masuk waktu Zohor saya akan merendahkan payung ke paras meja menutup mesin taip dan menunaikan solat, entah macam mana hari itu sekembali dari masjid saya tengok hanya tinggal meja saja,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Hashim, 65, berkata, sudah sampai masanya pihak berkenaan memikirkan nasib petition writer yang ada di Teluk Intan.
“Kami tak ada masalah nak sewa kedai, tetapi kalau boleh biarlah di lokasi yang strategik, supaya mudah pelanggan mencari kami.
“Kalau boleh biarlah di lokasi ini juga kami diberi kemudahan yang lebih selesa mencari rezeki,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: