Sunday, January 10, 2016

ATM baik pulih jambatan Kg Pemberian-Kg Manjor




ATM baik pulih jambatan Kg Pemberian-Kg Manjor
Jambatan sementara yang disediakan ATM bagi kemudahan penduduk.
KUALA KRAI - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membaik pulih jambatan besi yang menghubungkan Kampung Pemberian dan Kampung Manjor di sini, yang terputus akibat dirempuh balak dalam kejadian banjir Disember lepas, mulai minggu depan.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, pihaknya menetapkan tempoh tiga minggu bagi kerja baik pulih jambatan berkenaan.
"Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada ATM untuk baik pulih jambatan besi sepanjang 72 meter ini. Kita akan baik pulih jambatan ini yang akan dapat digunakan bukan sahaja untuk pejalan kaki, malah kenderaan juga," katanya.
Beliau berkata demikian semasa melawat Projek Jiwa Murni 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) di Kampung Pemberian di sini, hari ini. Turut hadir Panglima 8 Briged Infantri, Brig Jen Zarondin Md Amin.
Katanya, kira-kira 30 dan 40 pegawai daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) akan melakukan kerja baik pulih berkenaan.
"Mereka akan bekerja selama 24 jam sehari dan kita harap jambatan berkenaan akan dapat disiapkan dalam tempoh lebih cepat bagi memberi kemudahan kepada penduduk," katanya. 
Zulkifeli berkata, apa yang dibimbanginya ialah air sungai kembali naik dan menghanyutkan balak dari hulu sungai yang boleh menyebabkan kerosakan kepada jambatan sementara jenis 'jetfloat' yang dibina  ATM sebelum ini.
"Bagaimanapun kita dah tugaskan anggota untuk pantau paras air sungai 24 jam bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku," katanya.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi pembinaan jambatan sementara manakala RM40 juta bagi membina jambatan  kekal di Sungai Lebir yang menghubungkan Kampung Pemberian dan Kampung Manjor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: