Sunday, January 3, 2016

Harga sayur, ikan naik lebih RM2



 Harga sayur, ikan naik lebih RM2
Lizawati yang menjual sayur kampung terpaksa mengambil bekalan dari luar untuk penuhi permintaan pelanggan.
KUANTAN - Kekurangan bekalan sayur serta ikan pada musim tengkujuh antara faktor harga bahan mentah naik.
Sayur seperti kangkung, bayam, sawi, kacang, bendi dan juga kubis, mula naik sekitar 30 sen hingga 50 sen sejak awal musim tengkujuh lalu.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Kuantan mendapati harga ikan dan sayur melambung kerana harga yang diambil dari peraih tidak sama sebelum musim tengkujuh.
Peniaga, Lizawati Mohd Rafi, 33, berkata, bekalan sayur seperti sawi, kangkong, salom dan ulam raja memang kurang ketika musim hujan.
Dia yang hanya mengambil bekalan tempatan sebelum ini terpaksa mengimport untuk penuhi permintaan.
“Musim tengkujuh ada permintaan tapi susah nak dapatkan bekalan," katanya.
Bagi Hamizah Hamzah, 44, dia yang sudah 10 tahun berniaga sayur-sayuran di  pasar itu turut mendapat harga tinggi dari orang tengah.
“Bayam sebelum ini RM4 sekilogram (kg) sekarang naik jadi RM6. Sayur sawi pula dari RM5 1kg boleh jadi RM7. Mahu atau tak, saya ambil juga, memang biasa macam ni.
"Pelanggan sudah sedia maklum keadaan ini, tak menjadi masalah untuk mereka beli sayur dari saya,” katanya.
Peniaga ikan, Khairuddin Ismail, 57, berkata, harga ikan naik disebabkan nelayan tidak ke laut dalam tempoh lama.
Menurutnya, ada ikan yang dijual segar termasuk ikan sejuk beku untuk penuhi permintaan pelanggan.
“Ikan kotak disimpan orang tengah untuk bekalan musim tengkujuh. Bekalan ini dikeluarkan untuk penuhi permintaan pelanggan. Kenaikan harga mungkin hanya pada kadar RM1 atau RM2 sekilo,” katanya.
Sementara itu, peniaga kedai runcit, Zalina Chik berkata, harga ikan selayang segar kini dijual RM10 1kg berbanding RM6 sebelum ini.
“Kedai saya hanya jual ikan segar saja dan harga memang mahal dari biasa sebab harga dari peraih dah tinggi.
“Ikan pelaling dulu RM6 sekilo sekarang RM13. Harga sayur pula naik seringgit atau dua ringgit sekilo.
Sinar Harian turut meninjau harga ikan dan sayur di pasar pagi Indera Mahkota dan mendapati setiap harga sayur dan ikan sudah diletakkan di papan tanda dalam kedai.
Pembeli, Zainab Ali, 43, berkata, dia sudah maklum dengan trend harga ikan dan sayur pada musim tengkujuh.
“Sebagai suri rumah hari-hari saya masak ikan dan sayur, dan boleh tahu harga yang relevan ataupun tidak. Musim tengkujuh bukan sahaja musim  hujan tetapi menjadi musim harga ikan dan sayur naik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: