Sunday, January 3, 2016

Dua kali tabung dipecah




Dua kali tabung dipecah
Mohd Khalid menunjukkan kedudukan tabung yang diletakkan di pintu masuk Masjid Kampung Mohd Noor. Gambar kecil: Mangga tabung masjid berkenaan yang dipecahkan.
BATU PAHAT - “Masuk kali ini dah dua kali tabung masjid dipecah orang. Pihak masjid rugi ratusan ringgit,” kata Imam 1 Masjid Kampung Mohd Noor, Parit Sulong, Mohd Khalid Sujangi, semalam.
Mohd Khalid berkata, Selasa lalu, ketika hendak menunaikan solat Asar, dia menyedari tabung masjid berkenaan telah dipecahkan.
Menurutnya, kejadian berkenaan dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa jam selepas kali terakhir dia memeriksa tabung itu setelah selesai solat Zuhur, hari yang sama.
“Saya yakin pencuri ini mengambil kesempatan memecah dan mengopak tabung ini ketika masjid ini kosong. Dia hanya tunggu peluang untuk buat kegiatan tak bermoral ini.
“Awal Disember lalu tabung sama turut dipecah, ini kejadian kali kedua. Kami tak dapat kesan siapa punya kerja sebab masjid ini tak ada kamera litar tertutup (CCTV) dan kami bercadang memasangnya untuk elak kejadian sama berulang,” katanya.
Katanya lagi, dia turut berhasrat membuat laporan polis dan mengetatkan lagi kawalan selain berbincang dengan jawatan kuasa masjid untuk langkah pencegahan.
Menurutnya, dia kesal dengan tindakan individu yang sanggup mencuri duit derma masjid dan menganggapnya perbuatan keji kerana menggunakan wang milik orang ramai.
“Wang di tabung ini hasil derma jemaah, ia digunakan untuk kegunaan masjid seperti membuat bayaran bil utiliti dan ada kala untuk penyelenggaraan kemudahan masjid ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan membabitkan kes pecah tabung surau dan masjid.
Katanya, pihaknya akan melakukan siasatan jika pihak pengurusan surau atau masjid terlibat membuat laporan polis, selain akan melakukan rondaan lebih kerap.
“Pihak polis nasihatkan pengurusan surau dan masjid memasang CCTV bagi mengesan suspek kejadian pecah tabung terbabit. Sementara itu, rondaan lebih kerap akan dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: